Kaherah : Stadium Borg El Arab bertukar menjadi satu perayaan apabila skuad Mesir menamatkan kemarau selama 28 tahun selepas berjaya menewaskan Conggo 2-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Russia, awal pagi tadi.

Pemain sayap, Mohamed Salah menjadi penyelamat Mesir dengan menyumbat kedua-dua gol dalam perlawanan pagi tadi.

Gol itu membantu Mesir dengan memberi kelebihan empat mata berbanding pasukan tempat kedua ketika saingan kelayakan berbaki satu perlawanan.

Kali terakhir Mesir layak ke Kejohanan Piala Dunia adalah pada tahun 1990 di Itali.

Kemenangan itu bukan sahaja untuk para pemain malah dikongsi bersama semua warga Mesir.

Kemeriahan ibu kota Mesir disinari dengan bunga api tanda meraikan kemenangan sekaligus menamatkan penantian yang cukup lama buat Mesir.

Malah, seluruh rakyat negara itu menjadikan seluruh jalanan bertukar menjadi merah, hitam dan putih.

Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengucapkan ribuan tahniah buat para pemain kerana telah menunjukkan perlawanan yang menarik buat warga Mesir.

Mesir muncul negara arab kedua yang layak ke Piala Dunia 2018 selepas Arab Saudi.

 

Foto Kredit: Mostafa Khalid