Connect with:




Penyerang Belgium dan Napoli, Dries Mertens berjaya meleburkan rekod legenda kelab dan Argentina, Diego Maradona dalam senarai penjaring terbanyak Napoli selepas menjaringkan gol ke-82 peribadi ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Cagliari serta mengesahkan kedudukan kedua liga Serie A musim ini.

Mertens berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-85 di Naples untuk memadamkan rekod 81 gol liga milik Maradona antara 1984  sehingga 1991. Mertens tiba di kelab yang berpangkalan di selatan Itali itu pada 2013 dari PSV Eindhoven.

Kini Mertens berjaya meletakkan diri tersenarai tiga penjaring Serie A terbanyak dalam sejarah kelab, rekod penjaring terbanyak milik Antonio Vojak dengan 102 gol antara 1929 sehingga 1935 dan Marek Hamsik dari Slovakia berada dikedudukan kedua penjaring terbanyak dengan 100 gol sebelum berpindah ke kelab Dalian Yifang yang berpangkalan di China.

“Saya amat gembira apabila berjaya mengatasi rekod legenda iaitu Maradona dan kini berada dalam sejarah Napoli.

“Kami harus bergembira dengan kedudukan di tempat kedua dan jika saya ingin menambah jaringan, saya harus kekal di sini.

“Saya sentiasa kata yang saya suka di sini, saya masih mempunyai kontrak dan saya gembira berada di sini serta berjuang dengan lencana ini,” kata Mertens.

Untuk rekod penjaring terbanyak Napoli dalam semua pertandingan, Hamsik berjaya mendahului dengan meledak 121 gol diikuti oleh Maradona dengan 115 gol dan Mertens berkongsi tempat ketiga dengan Attila Sallustro dengan 107 gol.

Musim ini Mertens berjaya menjaringkan 14 gol bersama Napoli termasuk tiga perlawan terakhir ini.

Kedua-dua gelaran Serie A yang diraih Napoli pada 1987 dan 1990 adalah ketika Maradona masih beraksi dengan kelab itu.

Napoli kini berada di kedudukan kedua liga dengan 16 mata dibelakang Juventus yang telah mengesahkan kejuaraan tetapi berada di depan Inter Milan yang berada di kedudukan ketiga  dengan berkelebihan 10 mata dengan hanya tiga baki perlawanan. -AFP

Foto: AP