Upacara pembukaan Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam berlangsung dengan cukup meriah dan mempesonakan. Ia bukan sahaja memikat hati ribuan penonton yang membanjiri stadium berkenaan malah turut memukau warga asing yang mengambil kesempatan menyaksikan acara penuh gemilang itu.

Dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, penonton disajikan dengan persembahan-persembahan budaya dari segenap pelusuk bangsa di Malaysia. Antaranya, tarian Orang Asli, tarian Melayu, Banghra, tarian negara, silat dan banyak lagi.

Selain itu, artis-artis terkemuka tempatan turut membuat persembahan memukau seperti Azlan dan Monoloque, Dayang Nurfaizah, M.Nasir serta Mia Palencia yang dipuji ramai persembahannya ketika menyanyikan salah satu lagu rasmi temasya, Rising Together.

Aksi terbang oleh maskot KL2017 iaitu Rimau turut mencuri tumpuan. Satu lagi aksi terbang dijayakan oleh penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri ketika menyalakan obor kejohanan.

Sukan SEA akan bermula secara rasminya hari ini, melibatkan lebih 7,000 atlet dan pegawai daripada 11 negara, berlangsung sehingga 30 Ogos ini.