Lewis Hamilton dan Nico Rosberg bersama dengan jentera F1 W04 yang akan digunakan dalam musim 2013 Formula 1

Lewis Hamilton dan Nico Rosberg bersama dengan jentera F1 W04 yang akan digunakan dalam musim 2013 Formula 1

Pasukan Formula One MERCEDES AMG PETRONAS mempersembahkan kepada umum; F1 W04, kereta lumba yang akan digunakan oleh pasukan tersebut di musim Formula 1 2013 di Sirkit Jerez, selatan Sepanyol hari ini.

Dengan tiada perubahan besar dalam peraturan teknikal untuk musim 2013, konsep asas F1 W04 hanyalah evolusi sofistikated dari jentera yang digunakan di musim 2012 dengan mengambil kira perubahan besar yang akan dilakukan di musim 2014 nanti.

Projek ini yang bermula di awal musim panas yang lalu dengan dengan ujian aerodinamik diketuai oleh Pengarah Kejuruteraan, Aldo Costa yang berpindah dari Ferrari dengan dibantu oleh Pengarah Teknikal, Bob Bell, seorang lagi muka baru yang diambil dari Renault.

Falsafah rekabentuk aerodinamik dioptimumkan dengan lima elemen rekabentuk bahagian hadapan bersama dengan generasi kedua ekzos Coanda di bahagian belakang. Jentera lumba ini masih mengekalkan saspensi depan ‘pushrod’ dan saspensi belakang ‘pullrod’ bertujuan untuk mencapai titik optimum hayat dan prestasi tayar.

Bahagian belakang jentera juga telah dipakejkan secara agresif untuk mencapai potensi optimum pembangunan aerodinamik. F1 W04 juga menukar rekabentuk bahagian hadapannya dari apa yang digunakan musim lepas dengan mengadaptasi ‘vanity panel’ yang dilihat mampu memberi sedikit kelebihan berdasarkan keputusan ujian-ujian yang dilakukan.

Prinsipal pasukan, Ross Brawn dipetik sebagai berkata “Jentera F1 W04 ini ialah langkah ke hadapan ke arah sofistikasi.”

Tambah beliau, 2013 menandakan era kedua untuk pasukan pembuatan Silver Arrows yang menjalani proses penstrukturan semula sejak 18 bulan yang lalu dan kini semakin matang sesuatu yang dapat dilihat dalam F1 W04.

Pasukan teknikal di Brackley dan Brixworth juga telah menghabiskan masa yang lama dalam kerja-kerja mereka untuk mempastikan perubahan besar dalam persembahan jentera ini berbanding dengan musim lepas.

Menurutnya lagi pasukannya amat bangga dengan penyertaan Lewis Hamilton dari pasukan McLaren dan bersama dengan Nico Rosberg, Brawn percaya mereka mempunyai barisan pemandu yang paling kompetitif dalam Formula One. Beliau juga percaya persaingan sihat di antara kedua-duanya akan memacu pasukan mereka ke hadapan.

Sementara itu Nico Rosberg telah menyiapkan diri untuk menghadapi musim baru ini dengan sesi latihan di pergunungan dan juga di mediterranean yang melibatkan pendakian, berbasikal, berenang dan berlari. Sesi simulasi juga memberikan maklumbalas positif tetapi Rosberg sedar kerja-kerja di alam nyata yang mampu untuk mempastikan kejayaan kepada pasukan.

Hamilton pula menyifatkan penghijrahannya ke Mercedes sebagai satu permulaan dalam bab baru karier perlumbaannya. Walaupun selama 15 tahun beliau menggunakan enjin Mercedes namun peluang untuk berlumba dengan jentera Mercedes Benz Silver Arrow menjadikan musim ini sebagai sesuatu yang istimewa buat juara dunia 2008 itu.

Buat pelumba kelahiran Britain itu, ianya satu penghargaan buatnya untuk menurut jejak lagenda-lagenda perlumbaan seperti Juan Manuel Fango, Sir Stirling Moss dan Michael Schumacher.

Tambahnya lagi, keinginan untuk berjaya yang amat tinggi dapat dilihat di kalangan krew pasukan dan ianya membuatkan dia berasa positif dengan kemampuan pasukan barunya. Di samping itu kerjasama yang bakal dijalinkan bersama Rosberg juga dilihat sebagai sesuatu yang bakal membawa impak positif kepada Mercedes.

Pengarah Eksekutifd MERCEDES AMG PETRONAS yang baru, Toto Wolff pula merumuskan bahawa pusingan pertama bersama jentera baru selalunya akan membawa emosi kepada semua yang berkenaan dan ianya juga serupa hari ini.

Dengan tradisi kejayaan perlumbaan yang lama dalam pasukan Mercedes, Wolff bertekad untuk mengulangi kejayaan-kejayaan lampau tambahan lagi apabila jentera yang digunakan ialah sebuah Silver Arrow. Dia percaya musim ini ialah suatu musim yang menarik tambahan pula dengan gandingan Hamilton bersama dengan Rosberg yang boleh menjanjikan sesuatu yang kompetitif.

Jentera F1 W04 ini akan melalui ujian pra-musim selama 12 hari sebelum perlumbaan pertama di Melbourne yang menjadi pembuka tirai musim Formula One 2013.