Connect with:




Hari mengundi untuk pilihan raya umum akan tiba tidak lagi. Sehubungan itu, setiap parti yang bertanding akan mengeluarkan manifesto mereka bagi menarik perhatian rakyat Malaysia untuk mengundi. Parti manakah yang mampu memberikan kepentingan dalam industri sukan di Malaysia? Jom kita lihat satu persatu manifesto setiap parti yang ada kaitan dengan pembangunan sukan di Malaysia.

Barisan Nasional- ‘Hebatkan Negaraku’

Manifesto Barisan Nasional mungkin dipandang tinggi oleh sesetengah pihak. Hal ini kerana, kemungkinan segala apa yang ditawarkan dalam manifesto berkenaan juga sejajar hasrat Transformasi Nasional 2050 (TN50). Namun, mampukah mereka merealisasikannya?

  • Manifesto BN Kedah, mereka berhasrat untuk menubuhkan Akademi Sukan disamping membina Akademi Latihan Modal Insan di Kedah.

 

  • Dalam keseluruhan rangkuman manifesto BN itu, mereka bakal melestarikan hasrat mereka untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dari aspek sukan dan golongan belia.

 

  • Dalam kandungan AkuJanji mereka, BN turut berjanji akan menganjurkan kelas seni dan program sukan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

 

  • Bagi calon Barisan Nasional di Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan akan memberi geran tahunan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan persatuan-persatuan bola sepak daerah dan membina stadium dan kompleks sukan negeri di Machang sekiranya Barisan Nasional dapat menawan Kelantan.

 

  • Untuk calon di Negeri Sembilan, insentif akan diberikan kepada atlet di bawah negeri Sembilan yang berjaya dalam bidang sukan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

 

  • Kegemilangan sukan bola sepak turut bakal dikembalikan sekiranya BN berjaya mentadbir negara.

 

Pakatan Harapan- ‘Membina Negara Memenuhi Harapan’.

Daripada apa yang kami lihat, pakatan harapan lebih banyak mengutarakan manifesto mereka yang berkaitan dengan pembangunan sukan di Malaysia. Rata-ratanya, bajet yang bakal diperuntukkan oleh PH lebih besar dan lebih banyak namun ianya mampu memberikan kesan yang baik sekiranya manifesto mereka ini menjadi kenyataan. Antaranya ialah:-

  • Siaran sukan utama dan EPL disiarakan secara percuma di siaran TV kerajaan, RTM.

 

  • Disamping itu, kemudahan laluan berbasikal juga akan diperuntukkan di pusat-pusat bandar yang terpilih.

 

  • Dana sebanyak 1 billion akan dikeluarkan bagi memperkasakan industri sukan negara dan pembinaan stadium arena E-Sport juga akan dijalankan.

 

  • Dalam manifesto PH Kedah, kemudahan untuk takraw, bola sepak dan badminton dalam rangka menjadikan sukan-sukan ini sebagai sukan utama negeri turut bakal diperluaskan.

 

  • Sehubungan itu, bagi akujanji Pakatan Harapan di Sarawak, kemudahan latihan dan institusi sukan akan dibangunkan bagi memanfaatkan potensi atlet Sarawak.

 

PAS- ‘Malaysia Sejahtera’

Sepertimana yang kita ketahui, Parti PAS ingin menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dibawah pemerintahan Islam. Walaupun mereka tahu mereka bakal menghadapi cabaran yang getir dengan berdepan tiga parti, namun manifesto PAS dalam membangunkan sukan negara dianggap masih relevan dan diterima oleh rakyat.

  • Insentif program kecergasan dan reakreasi anak muda bakal dilunaskan.

 

  • Infrastruktur sukan bakal dibangunkan dengan kemudahan yang lengkap.

 

Kesimpulannya, setiap parti politik mempunyai agenda dan juga manifesto mereka sendiri menjelang pilihan raya umum nanti. Dalam ketiga-tiga parti di atas, yang mana satukah manifesto paling relevan untuk dilaksanakan kepada rakyat? Jadilah pengundi yang bijak demi memajukan industri sukan negara. 9 Mei 2018 ini, anda berhak menentukannya. Selamat mengundi dan semoga berjaya buat parti-parti yang bertanding.

 

*Artikel ini hanya pandangan peribadi penulis dan tiada kaitan dengan mana-mana parti. Undilah dengan bijak!