Connect with:




Arus permodenan zaman banyak mempengaruhi masyarakat terutamanya anak muda yang suka bermain permainan video atau permainan telefon. Jika dulu remaja lebih gilakan FIFA atau Clash of Clans, kini permainan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) pula semakin dikuasai selepas ianya secara rasmi dilancarakan di peranti pintar.

Bukan sahaja mudah, aplikasi permainan yang dibangunkan oleh pembangun dari China, Tencent, ‘game’ ini juga menggunakan elemen yang sama di PC dimana ia memasukkan semua ciri di PC dalam skrin sentuh selain boleh dimain dimana sahaja anda berada.

Namun, keghairahan penggemar di seluruh dunia rupa-rupanya mencetuskan keresahan bagi segelintir masyarakat terutamanya di kawasan pedalaman.

Misalnya, permainan yang membawa unsur tembak sehingga mati telah diharamkan di beberapa buah daerah dekat Gujarat, India.

Difahamkan, beberapa daerah terpencil di sana baru mendapat akses internet mampu milik. Jadi, mereka mengalami kejutan budaya internet apabila memuat turun aplikasi berkenaan.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapa diharamkan sedangkan ianya adalah sebuah permainan peranti pintar sahaja? Sama seperti pengaruh cerita keganasan dalam televisyen terhadap penonton, PUBG juga turut didakwa sebagai merbahaya kerana mencetus ketagihan kepada penggemarnya sehingga memberi kesan negatif pada perkembangan sosiologi.

Ia sekaligus mengukuhkan lagi sebab pengharaman PUBG oleh pemerintah tempatan yang berkuatkuasa 6 Mac lalu. Antara daerah yang menerima kesan kurang baik daripada aplikasi permainan itu ialah Surat, Rajkot dan Vadodara.

Portal The Indian Express melaporkan akibat melanggar larangan bermain di kawasan umum, seramai 10 individu telah diberkas di Rajkot setelah lapan hari pengharaman yang pertama kali dikenakan di India.

Dua penggemar PUBG tidak didedah identiti mereka diberkas oleh Kumpulan Operasi Khas Rajkot (SGO) kerana terlalu obses bermain aplikasi itu juga di kawasan awam.

Sementara enam yang lain pula ditangkap polis berhampiran sebuah kolej yang mana mereka merupakan mahasiswa.

Manakala, dua individu lain yang juga ditangkap polis pada selasa lalu masing-masing merupakan pekerja di sektor swasta dan seorang buruh.

Jurucakap polis Rajkot, Rohit Raval menyifatkan aplikasi tersebut mengundang ketagihan melampau dalam kalangan pemain.

“Akibat sibuk bermain PUBG, tertuduh langsung tidak menyedari kehadiran pihak polis yang mendekati mereka,” kata Rohit seperti dilaporkan The Indian Express.

Sehubungan itu, pihaknya merampas telefon bimbit kesemua individu itu bagi tujuan siasatan.

Kesemua tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan India kerana melanggar pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Polis dan Seksyen 35.