Connect with:




Copa America 2019 menyaksikan kejutan dari Peru yang berjaya mara ke perlawanan akhir untuk menentang tuan rumah, Brazil pada Ahad ini.

Memulakan kempen dengan seri tanpa jaringan sebelum menang 3-1 ke atas Bolivia. Aksi terakhir peringkat kumpulan dengan Brazil berakhir dengan kekalahan teruk 0-5 namun Peru tetap layak ke suku akhir selepas menduduki salah satu pasukan ketiga terbaik.

Dalam aksi suku akhir, Peru menang dalam penentuan sepakan penalti ke atas Uruguay sebelum membuat kejutan membesalah Chile 3-0 dalam aksi separuh akhir.

Salah seorang bintang dalam pasukan Peru kali ini ialah Christian Cueva. Jika anda masih ingat pada Piala Dunia tahun lalu, Cueva merupakan duri dalam daging pasukan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Denmark. Kegagalan tersebut menyebabkan Peru terpaksa pulang awal.

Kali ini di Brazil, Cueva yang dipinjamkan ke Santos dari kelab Russia, Krasnodar telah membuat satu ‘assist’ dalam penampilannya di Copa America.

Apa yang menarik mengenai Cueva, dia dianggap pembawa tuah pasukan selepas mengikut arahan dari seorang bomoh.

Apa yang Cueva lakukan?

Menurut laman web El Comercio, Cueva akan memasukkan kad atau daun terup ke dalam stokinnya. Ini dianggap satu kepercayaan buat Cueva yang akan memberikannya tuah dalam setiap perlawanan.

Semuanya bermula dalam satu perlawanan pada 2016 melibatkan Peru dengan Ecuador. Seorang ahli silap mata yang juga bomoh, Ernesto Carpio Tirado telah memberi kad bernombor 10 kepada Cueva untuk dimasukkan ke dalam stokin. Cueva menjaringkan gol menerusi penalti pada perlawanan tersebut.

Ernesto Carpio Tirado

Cueva melakukan perkara yang sama dalam perlawanan berikutnya iaitu menentang Argentina di Lima. Sekali lagi, Cueva menjadi penyelamat dengan menjaringkan gol untuk membawa Peru seri 2-2.

Bagaimanapun dalam perlawanan menentang Chile Rabu lalu, Cueva tidak menggunakan nombor 10 sebaliknya menggunakan ‘kad 8 diamond’. Bagi Cueva, kad tersebut adalah kad bertuah untuk dirinya.

Lebih menarik, ahli silap mata tersebut, Ernesto merupakan salah seorang dari staff pasukan Peru dimana dia bertindak sebagai bomoh pasukan.

Tidak dapat dipastikan apakah Cueva akan memakai kad yang sama dalam aksi final nanti. Jika Peru berjaya menang ke atas Brazil, ia akan menjadi kejuaraan Copa America ketiga buat mereka selepas melakukannya pada tahun 1939 dan 1975.