Connect with:




Bas yang membawa pasukan Manchester City diserang di luar Anfield sebelum perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara menentang Liverpool, semalam.

Dalam pada itu, pengurus Manchester City, Pep Guardiola berasa tidak puas hati dan mempersoalkan mengapa bas mereka diserang tanpa sebab yang munasabah.

Pihak pengurusan Liverpool memohon maaf dan menyifatkan perkara ini sangat buruk dan tidak boleh diterima.

Mereka bernasib baik kerana tiada kecederaan berlaku antara pemain dan pegawai pasukan namun dua orang pegawai polis cedera terkena objek dari penyokong sebelum Liverpool mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Manchester City.

Pada sidang media yang berlangsung Selasa lepas, Guardiola telah diberi peringatan tentang sambutan agresif yang diterima pasukannya setibanya di Anfield sekaligus dia mempersoalkan mengapa perlindungan yang lebih tidak diberikan kepada mereka.

“Semalam media ada menjelaskan dekat saya, tetapi saya disini untuk aksi Liga Juara-Juara. Apa yang saya keliru, media sudah memberitahu perkara itu akan berlaku dan ia tetap juga berlaku,” luah jurulatih Catalan itu.

“Saya tidak menjangka insiden ini dari Liverpool. Mustahil kelab berprestij melakukan perkara seperti ini.

“Saya tahu ia bukan dari skuad Liverpool tetapi ini adalah dari penyokongnya. Saya harap ianya tidak berlaku lagi.”

“Kebiasaanya, apabila pihak polis tahu bahawa insiden ini akan berlaku, mereka akan cuba mengelak dari perkara ini berlaku,” tegasnya.

Guardiola juga mencadangkan lebih banyak perlindungan harus diberikan kepada bas pasukan bola sepak lebih-lebih lagi selepas serangan bom ke atas Borussia Dortmund sebelum menjelang suku akhir Liga Juara-Juara menentang Monaco tahun lalu.

“Setahun lalu ada sesuatu yang berlaku di Dortmund. Kami datang ke sini untuk bermain bola sepak bukan untuk bermusuh. Saya tidak faham mengapa keadaan ini berlaku, ” tambah Guardiola.

Sementara itu, bas yang rosak tidak dapat digunakan untuk menghantar City dan mereka terpaksa menggunakan bas lain untuk pulang sejauh 55km (35 batu).

Dalam satu kenyataan Liverpool, mereka akan cuba sebaik mungkin untuk mengenal pasti puncanya.

“Kami memohon maaf kepada Pep Guardiola, pemain, kakitangan dan pegawai yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kelakuan beberapa individu tidak dapat diterima dan kelab Liverpool akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp juga meminta maaf, berkata: “Saya tidak faham. Kami mencuba segala-galanya untuk mengelakkan perkara ini berlaku. Bagi pihak Liverpool FC saya memohon maaf. “–AFP

Foto Kredit: Sputnik International