Connect with:




Susulan kejayaan skuad bolasepak Perak menjuarai Piala Malaysia tahun lalu, seramai 39 pemain dan pegawai pasukan menerima lot tapak kediaman yang terletak di mukim Hulu Kinta.

Laporan BERNAMA menyebut pemberian tersebut adalah penghargaan kerajaan negeri selepas skuad Seladang berjaya menamatkan kemarau kejuaraan sejak tahun 2000.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata mesyuarat kerajaan negeri pada 8 Mei lalu telah meluluskan satu lot tapak kepada semua yang terlibat.

Dalam masa yang sama, Faizal berharap insentif tersebut dapat menaikkan semangat pemain untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Saya agak kecewa dengan prestasi musim ini. Saya harap mereka akan bangkit memenangi baki perlawanan” katanya pada majlis berbuka puasa PAFA di Laman Seri Ridzuan di Ipoh pada Rabu.

Perak menjuarai Piala Malaysia tahun lalu hasil kemenganan 4-1 dalam penentuan sepakan penalti ke atas Terengganu selepas terikat 3-3 dalam masa sebenar.