Connect with:




Mempunyai kelunakan suara yang sedap didengar serta kehebatan beliau di pentas nyanyian tidak boleh dinafikan lagi. Siapa sangka penyanyi legenda tanah air, Datuk Dj Dave juga mempunyai bakat seorang pemain badminton apabila pernah muncul naib juara sebanyak dua kali berturut-turut dalam Kejohanan Taiwan Morning Cup.

Terbaru, Dj Dave akan mewakili negara ke Kejohanan Badminton Senior Sedunia di Chengdu, China bermula 1 hingga 4 Novermber ini.

Beliau yang beraksi di bawah pasukan WCBF NZ mempunyai misi untuk mempersembahkan aksi terbaik  pada saingan Senior Sedunia itu yang akan dimainkan mengikut beberapa kategori umur.

“Kejohanan ini akan turut disertai bekas-bekas pemain antarabangsa dari serata dunia. Setakat ini saya dimaklumkan akan ada lebih 4, 000 peserta yang bakal memeriahkan kejohanan terbabit. Saya akan beraksi untuk acara perseorangan dan juga beregu lelaki di mana saya akan bergandingan dengan pemain Indonesia, Agus Husin.

“Saya akan beraksi dalam kategori 70 tahun dan lain-lain kategori yang turut dipertandingkan adalah 40, 45, 50, 55, 60, dan 65. Laluan tentu saja berliku buat kami nanti,” katanya ketika dihubungi.

Bercakap mengenai persiapan beliau dan rakan sepasukan, beliau memberitahu bahawa mereka memberikan fokus terhadap peningkatan stamina kerana berkemungkinan menghadapi 10 perlawanan dalam sehari.

Meskipun sedar ianya sukar untuk menamatkan saingan di kedudukan terbaik, Dj Dave mengakui bahawa beliau mempunyai impian untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang di China nanti.

“Mengenai persiapan saya bersama pasukan, kami memberi lebih fokus terhadap stamina kerana ia memerlukan ketahanan diri yang tinggi tambahan pula saya akan beraksi dalam dua acara.

“Memang kami menyasarkan pencapaian terbaik tetapi kita harus fokus di setiap perlawanan. Kalau boleh, saya ingin realisasikan impian saya untuk pastikan bendera Malaysia berkibar di sana nanti,” ujarnya lagi.

Berikut adalah antara pencapaian terbaik pernah di raih penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Ku Tak Ingin Menangis Lagi itu adalah meraih pingat perak dua tahun berturut-turut di Taiwan Morning Cup 2013 dan 2014, pingat gangsa kejohanan Asia Pasifik 2018 dan melayakkan diri ke suku akhir All England Senior 2016.

 

Foto : Green Media