Connect with:




Menjelang jendela perpindahan pemain pada Mei depan, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) menjelaskan kemungkinan beberapa pemain import skuad itu akan disingkirkan.

Menurut Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, memberi bayangan akan mengambil import baharu yang mampu memacu kejayaan pasukan ke arah lebih proaktif dan efektif.

Dalam pada itu, beliau juga mengakui tidak berpuas hati dengan beberapa pemain import yang dilihat gagal mencapai prestasi terbaik seperti yang diharapkan.

Menurutnya, prestasi pemain import pada waktu sekarang hanya berada pada tahap yang memuaskan, namun, masih bukan seperti yang diharapkan untuk membawa skuad Hang Tuah itu berada pada prestasi yang lebih memberangsangkan selepas tewas pada saingan Piala FA.

“Kami sedang meninjau beberapa pemain baharu yang boleh menjadi tunjang utama untuk membentuk gandingan lebih mantap. Sekarang, fokus kami adalah untuk menyingkirkan import yang tidak beraksi cemerlang.

“Bagaimanapun, tiada perubahan dalam kalangan pemain tempatan dengan kemungkinan besar semua akan dikekalkan. Ia disebabkan kitaran pemain tempatan terbaik agak terhad dengan mereka sudah mewakili pasukan masing-masing,” katanya.

Musim ini, Melaka memiliki lima import iaitu Yahor Zubovich (Belarus), Shahdan Sulaiman (Singapura), Tiago Gomes (Portugal), Steven Thicot (Perancis) dan Jeon Woo Young (Korea Selatan).

Foto Kredit: My News Hub