Sebanyak 24 pasukan ragbi dari dalam dan luar negara sekali lagi akan turun berentap bagi merebut Trofi NJ Ryan di Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s 2018 yang bakal berlangsung pada 23-25 Februari ini di Kuala Kangsar, Perak.

Saingan yang memasuki edisi ke-8 sejak ianya dimulakan pada tahun 2011 menyaksikan kehadiran pasukan terbaik dari setiap negeri seperti MCKK selaku tuan rumah, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dari Johor, Sekolah Antarabangsa Australia (Singapura) yang merupakan wakil tunggal dari luar negara kali ini dan banyak lagi.

Dengan status selaku juara bertahan dan juga pasukan yang paling banyak memenangi gelaran (empat kali muncul juara pada 2011, 2012, 2016, 2017), SSTMI dilihat bakal turun membawa reputasi besar di samping pasukan lain yang juga tidak kurang hebatnya seperti MCKK sendiri yang pernah muncul juara pada edisi tahun 2013 lalu.

MCKK Premier 7s ini adalah satu kejohanan yang mendapat naungan di bawah Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah.

Kejohanan yang dianjurkan oleh The Malay College Kuala Kangsar (MCKK) melalui The Malay College Old Boys’ Association (MCOBA) adalah satu kejohanan yang disokong Jabatan Belia, Sukan & Sumber Manusia Negeri Perak serta Jabatan Pelancongan Negeri Perak sebagai salah satu kejohanan penting memandangkan negeri Perak juga bakal menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini.

Selain itu, MCKK Premier 7s merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (PPRK) di mana ianya adalah contoh kejohanan terbaik bagi membentuk pasukan ragbi yang mantap sejak dibangku sekolah lagi dan juga satu pentas buat pemain muda berkebolehan mempamerkan aksi mereka.

YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin, Presiden MCOBA berkata, “Objektif penganjuran Kejohanan MCKK Premier 7s tahun ini adalah untuk menggalakkan dan membangkitkan semula sukan ragbi di kalangan sekolah yang mengambil bahagian. Di samping itu, kejohanan ini juga mampu menjadi satu medan penting untuk membantu pembangunan ragbi di negara ini”.

“Selain itu, Kejohanan MCKK Premier 7s juga mampu mewujudkan minat nasional memandangkan pasukan yang menyertai kejohanan kali ini merupakan pasukan ragbi terbaik dari setiap negeri di Malaysia. Kita juga menjemput pasukan dari negara jiran bagi menyertai kejohanan ini,” kata YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin.

“Untuk menganjurkan sesuatu kejohanan sukan bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, serta penaja utama kami, Telekom Malaysia Berhad yang menampilkan jenama unifi pada kali ini untuk segala sokongan sejak kejohanan ini bermula lapan tahun lalu,” tambah YM Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin.

Tunku Dato’ Ahmad Burhanuddin turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja yang lain kerana bersama-sama memainkan peranan bagi membolehkan kejohanan kali ini berjalan lancar serta juga mengucapkan selamat bertanding kepada semua pasukan.

Senarai Pasukan Yang Menyertai Kejohanan:

Pasukan Tempatan:

SMK Abi (Perlis); SM Sains Pokok Sena (Kedah); Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu (Kedah); The Malay College Kuala Kangsar , Sekolah Tuanku Abdul Rahman, SMK King Edward VII (Perak); SM Sains Hulu Selangor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (Selangor); Victoria Institution, SM Sains Selangor, Maktab Tentera Diraja (Kuala Lumpur); Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya); Sekolah Dato’ Abdul Razak, SMS Tuanku Jaafar, SMK King George V (Negeri Sembilan); SMK Sri Mersing, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, English College (Johor); Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan (Pahang); SM Sains Sultan Mahmud, MRSM Kuala Terengganu (Terengganu);  SMK Sultan Yahya Petra 1 (Kelantan); SMKA Sheikh Haji Othman Abdul Wahab (Sarawak).

Pasukan Antarabangsa:

Sekolah Antarabangsa Australia (Singapura)