McDonald’s – restoran makanan segera terkemuka dunia sememangnya tidak asing dalam melibatkan diri dengan penganjuran temasya sukan. Penglibatan mereka bermula pada tahun 1976 menerusi Sukan Olimpik Montreal. Sejak itu, McDonald’s terus melaksanakan komitmen jangka panjangnya dengan Sukan Olimpik sehingga ke hari ini.

Itu Sukan Olimpik. Bagaimana pula dengan temasya yang lain. Apakah pernah McDonald’s terlibat dalam menjadi penaja untuk Sukan SEA?

Jawapannya, sehingga 2015 – tidak. Bagaimanapun, buat pertama kalinya dalam sejarah, McDonald’s Malaysia akan menjadi penaja Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selaku penaja perak dan restoran rasmi.

Perjanjian penajaan ditandatangani secara rasmi hari ini oleh YBhg Dato’ Seri Zolkpes Embong, Ketua Pegawai, Kementerian Belia dan Sukan mewakili Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) dan En Azmir Jaafar, Pengarah Urusan / Rakan Operasi McDonald’s Malaysia. Perjanjian ini disaksikan oleh Y.B. Brig. Gen. Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, memaparkan satu lagi pencapaian penting bagi McDonald’s Malaysia dalam usaha menyokong pembangunan sukan di Malaysia.

“McDonald’s cukup berbangga menjadi sebahagian daripada acara penting ini dan berharap dapat membantu menaikkan lagi semangat ‘Bangkit Bersama’. Penyertaan kami dalam KL 2017 merupakan sesuatu yang cukup bermakna; lebih-lebih lagi dengan pelbagai lagi aktiviti yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat. Sesungguhnya, kami mengalu-alukan seluruh rakyat Malaysia ke restoran sehenti kami untuk menzahirkan sokongan kepada para atlet kita dan temasya KL 2017,” kata En Azmir Jaafar, Pengarah Urusan / Rakan Operasi, McDonald’s Malaysia.

Bagi Khairy yang pernah bekerja di McDonald’s Bangsar Baru sewaktu remaja dahulu, penajaan ini menambah lagi jumlah keseluruhan penajaan tunai yang disasarkan.

“Untuk penajaan tunai, kita telah mencapai 71 peratus sementara penajaan bukan tunai, kita telah dapat hampir 99 peratus sasaran.

“McDonald’s akan menyokong KL 2017 dengan jumlah penajaan bernilai lebih RM 1 juta secara wang tunai dan cenderahati. Selain itu, 3 restoran McDonald’s di Johor, Pulau Pinang dan Putrajaya bakal menjadi pusat sehenti untuk Larian Obor KL 2017” tambah beliau lagi.