Persatuan Kriket Malaysia (MCA) baru-baru ini secara rasminya menjadikan SMK Seri Pekan sebagai pusat kecemerlangan kriket dalam kalangan sekolah-sekolah di Malaysia.

MCA sebelum ini telah pun menghantar pelatih ke SMK Seri Pekan bagi menjalankan latihan kriket untuk menanam minat pada kriket di samping membentuk pemain kriket yang berkualiti.

Kerjasama ini telah membawa SMK Seri Pekan memenangi tempat pertama dalam Kejohanan Sekolah Antarabangsa yang diaturkan oleh MCA pada bulan September 2017. SMK Seri Pekan telah menewaskan sebanyak 96 buah sekolah dalam kejohanan tersebut.

Untuk mengembangkan kejayaan ini ke sekolah-sekolah yang lain, MCA dan SMK Seri Pekan telah bersetuju menubuhkan satu kerjasama menjadikan SMK Seri Pekan sebagai Pusat Kecemerlangan Kriket di Malaysia. Kerjasama ini akan ditandatangani supaya memastikan kedua-dua pihak menjalankan tanggungjawab mereka dalam pembangunan Pusat Kecemerlangan Kriket yang pertama.

Dengan ini, SMK Seri Pekan harus menjalankan latihan kriket yang konsisten dan memastikan sesi-sesi latihan ini adalah berkualiti tinggi. Selain itu, sebagai Pusat Kecemerlangan Kriket, SMK Seri Pekan juga harus menyemai semangat kesukanan serta menjadi contoh kriket yang ideal bagi sekolah-sekolah Pahang yang lain.