Connect with:




Impian jaguh Ultimate Fighting Championship (UFC) Russia, Khabib Nurmagomedov untuk menentukan siapakah ‘Raja Rimba’ di antara dirinya dan petinju Amerika Syarikat, Floyd Mayweather tampak menjadi nyata apabila Mayweather memberi gambaran akan menyahut cabaran yang dilontarkan juara UFC lightweight itu.

Khabib, 30, yang terserempak dengan promoter Mayweather, Leonard Ellerbe dalam satu majlis di Rusia telah melaungkan cabaran kepada juara tinju dunia itu menerusi rakaman video instagram milik Ellerbe dengan menyatakan cuma satu raja boleh berada di rimba.

“Ayuh Floyd, sekarang hanya kita berdua yang memegang rekod bersih, ini masanya kita beradu, 50-0 menentang 27-0 dan saya rasa anda tahu, di rimba hanya boleh ada satu raja,” demikian ungkapan Khabib yang masih segar dengan kemenangan keatas Conor McGregor di UFC 229 minggu lalu ketika mencabar Mayweather.

Cabaran Khabib itu bagaimanapun tidak mengambil masa  lama untuk mendapat tindak balas dari Mayweather, 41, yang turut memuatnaik status di laman instagram miliknya semalam.

“CBS, Showtime dan MGM apa lagi yang kalian tunggu ? Keluarkan buku cek sekarang, ayuh jadikan Las Vegas meriah sekali lagi,” tulis Mayweather.

Di gelanggang tinju tahun lalu, Mayweather juga pernah menewaskan McGregor meskipun terpaksa bertarung sehingga ke pusingan ke 10 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi teknikal knockout (TKO),kedua-duanya masih belum tewas dan jika pertarungan ini menjadi nyata maka salah seorang akan keluar dengan status tanpa kalah.

Namun begitu Khabib menyatakan bahawa beliau tidak berminat untuk bertarung di Arena T-Mobile, Las Vegas, sekali gus memberi gambaran perlawanan antara dua juara dunia ini bakal berlangsung di venue baru.

“Tidak, sama sekali bukan Vegas, kerana jika saya menang di sana nanti mereka tidak akan membayar wang kemenangan saya,” tegas Khabib yang masih belum menerima wang kemenangannya ke atas McGregor minggu lalu.

 

FOTO : FACEBOOK FLOYD MAYWEATHER

SUMBER : MMA MANIA NEWS