Connect with:




Pada tahun 2017, Mohd Redha Rozlan menjadi viral di Malaysia selepas video beliau beraksi di Sasuke Vietnam dan American Ninja Warrior menerima jutaan tontonan. Sejak itu, atlet yang dikenali dengan nama Mat Redho ini menjadi ikon bagi sukan OCR iaitu obstacle course racing (lumba rempuh halangan) terutamanya yang berformat ninja races.

Tahun demi tahun, Mat Redho terus mengukuhkan namanya dalam arena ini bukan setakat di Malaysia sahaja malah di luar negara antaranya Singapura dan Australia. November lalu, beliau muncul juara Ninja Challenge League di Perth, menewaskan ramai peserta dari negara tersebut.

Kejayaan ini disedari oleh pihak Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) yang melihat pencapaian Mat Redho sebagai inspirasi kepada rakyat Malaysia betapa pentingnya kerja keras dan fokus dalam mencapai objektif.

“Hanya dengan menonton video aksi beliau, anda boleh tahu Mat Redho seorang yang tangkas, berani dan mempunyai keazaman yang kuat walaupun bertubuh kecil berbanding peserta luar negara” kata Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Dato’ Charon Wardini Mokhzani dalam majlis menandatangani perjanjian antara MIDF dengan Mat Redho yang berlangsung pada Selasa di Bukit Kiara.

Mat Redho (kiri) bergambar bersama Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Dato’ Charon Wardini Mokhzani dalam majlis menandatangani perjanjian antara kedua-dua pihak di Bukit Kiara pada Selasa.

“Kami berbesar hati untuk menjadi penaja utama beliau selama setahun dengan harapan tajaan ini dapat membantu beliau mempersiapkan diri dalam menyertai pertandingan-pertandingan antarabangsa dan tempatan” tambah Charon lagi.

Bagi Mat Redho, penajaan ini satu penghargaan yang cukup bermakna apatah lagi tahun ini beliau akan menyertai banyak pertandingan antarabangsa termasuk Sukan SEA.

“Tahun ini, saya akan menyertai Sukan SEA di Filipina. Ini sebenarnya adalah penyertaan kedua saya dalam Sukan SEA selepas Palembang 2011. Bezanya, pada 2011 saya menyertai acara sport climbing dimana saya memenangi pingat perak disiplin speed relays sementara tahun ini, saya beraksi dalam acara OCR” katanya yang menerima Anugerah Perdana Belia Negara baru-baru ini.

“Saya akan gunakan tajaan ini sebaik mungkin dalam merealisasikan impian memenangi emas di Filipina nanti. Bagi saya, Sukan SEA adalah satu temasya besar berbeza dengan pertandingan-pertandingan yang pernah saya sertai maka adalah satu pencapaian yang cukup besar jika saya mampu memenangi emas” tambahnya lagi.

Pada Januari, sukan OCR telah diterima sebagai salah satu acara yang menawarkan pingat oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA. Sukan SEA di Filipina bakal berlangsung pada 30 November hingga 10 November ini.