Connect with:




Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memutuskan tidak akan membuat pusingan U untuk mendapatkan semula khidmat bekas pemain import, Liridon Krasniqi atau Mat Don semata-mata mahu membantunya menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris menegaskan peluang harus diberikan kepada barisan pemain tempatan yang berkaliber selain ianya dapat menjimatkan kos bagi musim depan.

“Kita sememangnya tidak menyambung kontrak bersama Liridon dan ia adalah keputusan muktamad.

“Ini kerana kita melihat daripada keadaan kewangan KFA yang kita tidak mahu kos pengurusan menjadi terlalu tinggi jika mendapatkan khidmat Liridon.

“KFA kini beri fokus kepada pemain tempatan yang boleh bermain dengan baik dan tahap profesionalisme yang tinggi… itu yang lebih penting, ” katanya.

Dalam pada itu, Liridon sebelum ini dikatakan menjadi salah satu senarai calon untuk dijadikan sebagai pemain naturalisasi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali gus dapat menyarung jersi kebangsaan, Harimau Malaya.

Namun begitu, harapannya untuk menjadi pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh kelihatan samar selepas skuad Helang Merah tidak menyambung kontraknya untuk musim hadapan.

Hal ini kerana mengikut peraturan dia yang sudah beraksi selama empat musim dengan Kedah  harus beraksi satu musim lagi dengan mana-mana pasukan di negara ini bagi melayakkannya menjadi pemain naturalisasi negara.

Mohd Asmirul turut memberitahu peluang untuk mendapatkan Khidmat Liridon oleh mana-mana pasukan negeri lain terbuka luas sekali gus membolehkan Liridon menyarung jersi skuad kebangsaan itu.

Sementara itu, dia juga menjawab mengenai keputusan rayuan berhubung jumlah pampasan ditetapkan Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang hanya bernilai RM75,000 bagi mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat pemain muda Kedah, Akhyar Rashid akan diputuskan melalui mesyuarat antara KFA dan FAM, pada Rabu.

Sebelum ini, KFA mengakui masih belum berpuas hati berkaitan isu kontrak Akhyar yang diputuskan FAM dan menganggapnya belum selesai. – BERNAMA