Masyuri Rahmat berjaya mengekang penguasaan Jeremy Koo di dalam Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia (MMRC) 2012 apabila berjaya menjuarai pusingan ketiga sirkit tersebut yang berlangsung di Tanjung Leman, Mersing, Johor.

Beliau yang mengetuai krew pasukan Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1 berjaya mengatasi cabaran Hazwan Hazim Dermawan dari pasukan Permai Hotel Match Racing Team dalam perlawanan akhir yang sengit.

Perlawanan akhir yang berlangsung dalam keadaan laut berombak dengan angin yang tetap bertiup di antara 7 hingga 10 knot ianya menjadikan keadaan yang ideal untuk menguji keupayaan para pelayar yang bertanding.

Dalam ‘flight’ pertama, Hazwan berjaya memaksa Masyuri melakukan kesilapan sehingga dikenakan penalti namun dia gagal mengambil kesempatan sepenuhnya apabila melakukan permulaan yang buruk yang menyaksikan dia ketinggalan agak jauh.

Walaupun Hazwan cuba mengejar ketika Masyuri melakukan penalti yang dikenakan namun pelayar TLDM itu berjaya melintasi garisan penamat dengan hanya perbezaan satu saat sahaja untuk mata pertama.

Hazwan melakukan permulaan yang baik dalam ‘flight’ kedua dan berjaya menyamakan kedudukan kepada 1-1. Masyuri seterusnya dikenakan penalti dalam pra-permulaan untuk dua ‘flight’ seterusnya namun beliau menunjukkan semangat juang yang kental untuk mempastikan kejayaan menjadi miliknya buat kali pertama.

Sebelum itu Jeremy Koo bersama pasukannya KFC/KRT berjaya menewaskan Harisfabillah Muhammad untuk memenangi perlawanan akhir ‘petit’ dan menduduki tempat ketiga. Ianya sedikit sebanyak memberi saguhati kepada pemenang dua pusingan sebelum ini selepas tewas di tangan Masyuri dalam perlawanan separuh akhir mereka semalam.

Nurul Ain Mohamad Isa bersama pasukannya Ri-Yaz Heritage Sailing Team menduduki tempat ke enam selepas gagal untuk mewaskan pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Affendy (Kedah Match Racing Team) dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.