Pencarian wakil Malaysia ke kejohanan perahu layar berprestij, Piala Monsun 2012 akan terjawab minggu ini apabila pusingan terakhir Sirkit ‘Match-Racing’ Malaysia dijadualkan berlangsung di Pulau Duyong, Kuala Terengganu dari 28 hingga 30 November ini.

Ianya akan menyaksikan saingan sengit di antara pendahulu carta, Jeremy Koo (KFC Malaysia / Koo Racing Team) dengan Masyuri Rahmat (Royal Malaysian Navy Match Racing Team 1) yang mengekori rapat di tempat kedua dengan hanya tiga mata memisahkan mereka berdua.

Seorang lagi ‘skipper’ yang berpeluang untuk merebut tiket ke Piala Monsun itu ialah Hazwan Hazim Dermawan yang bertanding bersama pasukan Permai Hotel Match-Racing Team. Namun jurang mata yang agak jauh di antara beliau dan kedua-dua pendahulu pasti akan menyukarkan peluang¬†pemenang MMRC 2009 itu.

Jeremy optimis bahawa beliau mampu untuk memenangi pusingan terakhir ini walaupun beliau terpaksa menggantikan ‘trimmer’ Fauzi Mustafa dengan pelayar Olimpik London 2012 negara, Khairulnizam Mohamad Afendy. Keupayaan beliau memenangi dua sirkit awal di Lumut dan Pulau Indah pasti menjadi sandaran kepada keyakinan itu.

Buat Masyuri pula, kejayaan memenangi pusingan 3 di Tanjung Leman sudah pasti menjadi penyuntik semangat untuk beliau mencuba sebaik mungkin menjadi wakil Malaysia di Piala Monsun nanti.

Sokongan dari pihak Tentera Laut Di-Raja Malaysia (TLDM) dimanafaatkan sepenuhnya apabila latihan berterusan dilakukan oleh pasukannya bersama satu lagi pasukan dari TLDM yang diketuai oleh Harisfabillah Muhammad di pengkalan mereka di Lumut, Perak.

Juara MMRC akan ditentukan melalui kutipan mata tertinggi seseorang ‘skipper’ dalam tiga pusingan yang disertainya. Tekanan sudah pasti terarah kepada Masyuri yang perlu memenangi pusingan ini untuk mempastikan tempatnya di Piala Monsun sementara Jeremy hanya perlu menamatkan pusingan di hadapan saingannya untuk layak.

MMRC ialah pertandingan yang diiktiraf oleh Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF), Jelajah ‘Match-Racing’ Dunia ALPARI (AWMRT) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA). Tiga pusingan sebelum ini telah diadakan di Lumut (Mei), Pulau Indah (Julai) dan Tanjung Leman (September). Pulau Duyong ialah pusingan 4 dan terakhir untuk kejohanan tahun ini.