Connect with:




Selepas menundukkan Nate Diaz di UFC 244 bagi memenangi tali pinggang BMF, bintang MMA, Jorge Masvidal meluahkan hasratnya untuk menentang jaguh tinju dunia, Canelo Alvarez.

Minggu lalu, dalam hari yang sama, kedua-dua atlet bertempur dalam gelanggang masing-masing. Masvidal beraksi menentang Diaz di acara UFC 244 sebelum Canelo mempertahankan tali pinggang WBO light heavyweight beberapa jam kemudian.

Bercakap dalam rancangan MMA Show, Masvidal berkata,”Saya rasa tumbukan saya sudah cukup padu dan mampu untuk menumbangkan Canelo.

“Tiada niat untuk memperlekehkan Canelo, saya rasa dia memang kuat. Bagaimanapun Canelo pernah memberi persepsi buruk bahawa atlet MMA tidak mampu memberi cabaran bertinju. Saya menyangkal tanggapan tersebut” jelas Masvidal.

Canelo ketika ini menjadi bintang tinju nombor satu dunia dengan rekod 53 kemenangan dan 1 kekalahan. Satu-satunya kekalahan yang dicatatnya dalam karier tinju Canelo ialah ketika bertemu Floyd Mayweather Jr pada 2013.

Jika pertarungan Masvidal-Canelo ini direalisasikan, ia akan menjadi pertarungan tinju profesional kedua melibatkan bintang UFC selepas aksi Connor McGregor menentang Mayweather pada 2017.