Connect with:




Masih mengekalkan rekod tanpa kalah! Itulah rekod yang dipegang skuad Liverpool dalam saingan saingan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menumpaskan seterus tradisi, Manchester United dengan kemenangan 3-1 di Anfield, awal pagi tadi.

Anak buah Jurgen Klopp kini mengutip 45 mata sekaligus menyaksikan mereka kembali merampas takhta liga dengan berkelebihan satu mata di hadapan pencabar utama, Manchester City.

Pemain gantian, Xherdan Shaqiri muncul wira Liverpool apabila meledak dua gol selain gol pertama dijaringkan Sadio Mane.

Babak pertama menyaksikan Mane membuka tirai jaringan buat The Reds apabila menyudahkan hantaran yang dilakukan Fabinho pada minit ke-24.

Bagaimanapun, gol pendahuluan Liverpool tidak bertahan lama apabila United yang dibimbing Jose Mourinho kembali bangkit dengan menyamakan kedudukan menerusi Jesse Lingard pada minit ke-33.

Kemasukan Shaqiri menggantikan Naby Keita pada minit ke-70, nyata  membawa impak besar kepada Reds.

Hanya tiga minit selepas dibawa masuk, pemain Switzerland itu merembat bola lantun yang gagal ditangkap kemas penjaga gol United, David de Gea untuk kembali meletakkan Liverpool di depan.

Ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan, Shaqiri sekali lagi berjaya mencetak gol kedua peribadinya melengkapkan kemenangan pasukannya pada minit ke-80.

Setelah mengharungi 17 perlawanan, Liverpool yang masih belum pernah tewas pada musim ini berada di tangga pertama, diikuti City 44, Tottenham 39 dan Arsenal 34.

United di tangga keenam dengan 26 mata, 11 mata ketinggalan di belakang penghuni tangga keempat, Chelsea.