Hasrat dua pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Zamri Baba untuk tampil cemerlang pada Pusingan 6 Kejuaraan All Japan yang berlangsung di Litar Sugo, hari ini tidak kesampaian apabila kedua-duanya mengalami masalah brek sewaktu perlumbaan.

Azlan dan Zamri yang bermula di petak ke-12 dan ke-13 setelah mencatatkan masa 1:32.772s dan 1:32.966s pada sesi kelayakan berjaya memperbaiki kedudukan masing-masing sebaik perlumbaan bermula.

Azlan yang menggunakan tayar Pirelli dengan mudah berada di kelompok 10 pelumba terpantas dikalangan 37 pelumba bertanding. Walaupun berhadapan dengan masalah kegagalan brek hadapan, dia berjaya menamatkan perlumbaan sebanyak 20 pusingan di tempat keenam dengan masa keseluruhan 31:23.240s.

“Perlumbaan cukup sukar tambahan jentera semua 10 pelumba di hadapan begitu pantas. Kami semua telah bekerja keras bagi menyiapkan jentera yang terbaik namun memandangkan ini adalah kali pertama kami berlumba di Sugo, kami tidak mempunyai data dan maklumat perlumbaan secukupnya. Dari awal lagi kami meletakkan sasaran untuk berada di kelompok 10 terbaik dan ianya tercapai. Namun begitu, saya sedikit kecewa kerana percaya saya mampu untuk mencatat keputusan yang lebih baik. Saya sebenarnya sudah bersedia untuk memintas pelumba di hadapan sebelum jentera saya mula mengalami masalah brek hadapan,” jelas Azlan yang beraksi buat pasukan Boon Siew Honda Racing Malaysia itu..

Sementara itu, perlumbaan lebih sukar bagi Zamri yang mana dia merupakan salah seorang dikalangan hanya 10 pelumba yang menggunakan tayar Dunlop. Selepas berada di tempat kesembilan pada peringkat pertengahan perlumbaan, brek jenteranya gagal berfungsi pada Pusingan 9 sehingga turut menyebabkan dia mengalami kemalangan kecil.

Tidak berputus asa, pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha Malaysia itu menunjukkan semangat juang tinggi untuk meneruskan perlumbaan walaupun jatuh ke kedudukan 30 pada ketika itu. Sehinggalah masuk ke pusingan ke-15, Zamri berhadapan masalah besar apabila hos brek hadapannya tercabut sehingga menyebabkan minyak pelincir brek tumpah dan memaksa pelumba Malaysia itu menarik diri dari terus beraksi di atas litar sepanjang 3.7km ini.

Perlumbaan dimenangi bekas juara keseluruhan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC), Decha Kraisat dengan masa keseluruhan 31:07.744s diikuti pelumba Jepun, Shinichi Nakatomi dan Hitoyasu Izutsu di tempat kedua dan ketiga masing-masing dengan catatan masa 31:07.846s dan 31:10.073s.