Kelewatan pembayaran bonus kepada pemain badminton negara yang mencatat kejayaan di pentas antarabangsa seperti dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), adalah disebabkan masalah aliran tunai.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata isu itu bukan perkara baharu kerana
pernah berlaku sebelum ini, dan berjanji akan menyelesaikannya bagi memastikan
pemain memperoleh ganjaran masing-masing.

“Duit sememangnya ada tetapi masalah ‘cash flow’ yang melewatkan pembayaran
bonus itu, namun BAM akan mencuba sebaik mungkin untuk mempercepatkan proses tersebut.

“Saya bagaimanapun tidak boleh mengulas lanjut mengenai aliran wang itu kerana tidak mahu menjejaskan nama baik pihak-pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Laporan akhbar hari ini menyebut beberapa pemain badminton kebangsaan
mendakwa mereka tidak menerima bonus pencapaian sejak Jun tahun lepas.
Badan induk badminton negara itu sebelum ini berjanji akan memberi bonus
kepada pemain negara yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir sehingga
final dalam kejohanan antarabangsa.

Kenny berkata BAM sebenarnya mempunyai dana sendiri untuk membayar bonus
pencapaian pemain, namun wang itu diguna bagi menampung perbelanjaan pemain
remaja kebangsaan beraksi di kejohanan luar negara.

Beliau memberi jaminan bonus pencapaian akan dibayar kepada pemain sebaik
BAM menerima wang daripada pihak berkenaan.  – BERNAMA