Connect with:




Penunggang jentera Repsol Honda, Marc Marquez menepati ramalan apabila berjaya memenangi perlumbaan MotoGP di Litar Jerez dalam aksi di GP Sepanyol.

Juara dunia lima kali ini berjaya menakluk GP Sepanyol yang juga negara kelahirannya selepas tiba di garisan penamat dengan catatan masa 41 minit 8.685 saat.

Walaupun Marquez bermula di petak ketiga, dari awal perlumbaan dia sudah mula mendahului pelumba lain sehingga tamat.

Pelumba pasukan Petronas Yamaha-SRT, Fabio Quartararo yang berjaya mencipta sejarah selaku pelumba termuda yang bermula dari petak utama gagal menamatkan perlumbaan dan terpaksa menarik diri pada pertengahan perlumbaan akibat masalah tuil penukar gear.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang memberi tekanan kepada Marquez pada 10 pusingan awal tercicir dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Tempat kedua diraih Alex Rins yang menunggang jentera Suzuki dan tempat ketiga dimenangi Maverick Vinales yang menunggang jentera Yamaha.

Mengikut rekod, Litar Jerez adalah litar yang memberi kelebihan kepada Marquez. Sepanjang berlumba di litar ini, Marquez belum pernah gagal menaiki podium.

Mula beraksi di saingan MotoGP pada tahun 2013, prestasi Marquez di Litar Jerez bermula dengan meraih tempat kedua. Pada 2014, Marquez berjaya menjuarai litar yang sama, di tempat kedua (2015), tempat ketiga (2016), kedua (2017) dan kembali menjuarai pada tahun 2018.

Marquez berjaya mengekalkan kejuaraan di Litar Jerez untuk tahun ini di hadapan penyokong-penyokongnya. Ia satu kenangan manis apabila GP Sepanyol adalah litar pertama eropah yang memulakan aksi dalam jadual MotoGP.

Kini, Marquez mendahului kedudukan pelumba selepas memenangi dua perlumbaan dengan 70 mata. Mengekori rapat adalah rakan senegara, Alex Rins dengan 69 mata dan Andrea Dovizioso dengan 67 mata.

Selepas ini, GP Perancis pula menjadi idaman semua pelumba untuk merebut podium yang akan diadakan di Litar Bugatti dalam masa 15 hari dari sekarang.

Foto : MotoGP