Connect with:




Marc Marquez mengesahkan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2018 menjadi miliknya apabila berjaya meraih gelaran juara dalam pusingan ke-16 pada Grand Prix (GP) Jepun semalam.

Masih berbaki tiga perlumbaan, kejayaan di Jepun itu menyaksikan Marquez menjulang takhta juara dunia kali kelima bagi kategori utama buatnya setelah berjaya melakukannya pada tahun 2013, 2014, 2016 dan 2017.

Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso yang dilihat mampu melengahkan pesta kejuaraan Marquez gagal memanfaatkan peluang mendahului diawal perlumbaan apabila pelumba Itali itu terjatuh ketika perlumbaan berbaki dua pusingan.

Kemalangan Dovizioso itu memberi sedikit kelegaan buat Marquez yang memanfaatkan peluang untuk mengesahkan gelaran juara MotoGP lebih awal di Litar Motegi. Marquez muncul juara setelah memungut 296 mata keseluruhan, jauh meninggalkan Dovizioso (Dovi) dengan kelebihan 102 mata.

“Semuanya rasa sangat sempurna buat saya kerana berjaya menjuarai perlumbaan ini. Sebaik aksi di Aragon, saya sudah mempunyai keyakinan mampu mencipta kejayaan di sini (Jepun). Sebagai seorang yang ingin menang, perasaan seperti itu pastinya akan menyuntik semangat saya untuk menjadikannya satu kenyataan.

“Perlumbaan sedikit mencabar di awal saingan tapi selepas saya berjaya menduduki  tempat kedua di belakang Dovizioso, keyakinan saya untuk mengatasi beliau mula meningkat dan dengan menggunakan strategi sama ketika di GP Thailand, saya berjaya melakukannya,” katanya sejurus selepas tamat perlumbaan.

Pada masa yang sama, Marquez turut menegaskan bahawa Dovizioso adalah antara pencabar terbaik yang pernah dihadapinya apabila pelumba Itali itu telah dua tahun berturut-turut menjadi pesaing buat dirinya dalam perebutan takhta juara dunia.

“Dovi merupakan pelumba yang hebat dan dia adalah pesaing terhebat sepanjang tahun ini bersama jentera beliau yang sangat laju.

“Secara jujurnya saya bersimpati dengan keadaan yang menimpa Dovi kerana sepatutnya dia bersama saya di atas podium hari ini (semalam),” ujarnya lagi.

Kemenangan tersebut menyaksikan pelumba berusia 25 tahun itu menyamai rekod bekas pelumba MotoGP, Mick Doohan, malah beliau juga semakin menghampiri pencapaian gemilang Valentino Rossi (tujuh) dan Giacomo Agostini (lapan).

 

Sumber : CNN

Foto : MotoGP.com