Connect with:




Juara dunia, Marc Marquez mula mempamerkan sengat selepas merakam kemenangan pada perlumbaan MotoGP Argentina di depan musuh utama Valentino Rossi dan menyifatkan persembahannya sebagai ‘hari sempurna’.

Penunggang jentera Honda itu meraih kemenangan ke-45 dalam kelas elit itu 10 saat di depan Rossi dengan jentera Yamaha. Andrea Dovizioso yang memenangi perlumbaan pembuka tirai musim ini di Qatar, menduduki tangga ketiga dengan jentera Ducati.

Marquez, yang memburu kejuaraan MotoGP dunia kali keenam, kini mendahului kejuaraan 2019 selepas dua pusingan daripada 19 perlumbaan.

“Hari ini, ia hari yang sempurna. Saya menekan sepanjang masa dan lima pusingan sebelum tamat saya boleh memperlahankan jentera untuk menyelamatkan enjin dan tayar.

“Ia satu daripada hujung minggu paling mantap dalam karier MotoGP saya. Pada pusingan pertama, saya mahu membuat perbezaan sebesar mungkin, ia satu strategi, saya menyerang dan saya melihat jurang membesar”, jelas Marquez.

Ketika Marquez jarang digugat pada perlumbaan itu, aksi di belakangnya lebih menarik dengan Rossi dan Dovizioso bertukar tempat sebanyak 12 kali.

Namun Rossi yang berusia 40 tahun menggunakan kesempatan susulan kesilapan Dovizioso pada pusingan terakhir untuk menduduki tangga kedua di litar yang mana 12 bulan lalu dia berlanggar dengan Marquez sebelum tersingkir keluar.

“Saya menunggu dan memintasnya pada pusingan terakhir”, kata Rossi yang kini beraksi musim ke-20 dalam kelas elit MotoGP dan menjejak podium kali pertama sejak di Jerman, Julai lalu.

“Ia hari yang hebat buat pasukan. Sudah agak lama saya tidak menaiki podium”, tambah Rossi.

Foto : Sportskeeda