Pengalaman nyata memihak kepada barisan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memulakan saingan Liga Perdana 2012 dengan nota kemenangan namun pesta gol Majlis Perbandaran Muar (MP Muar) lebih mencuri tumpuan.

Juara Piala FAM 2011, NS Betaria bukanlah lawan setanding ATM apabila dijinakkan anak buah B. Sathianathan dengan jaringan 2-0 malam tadi di Stadium MBPJ.

Antara pemain yang diturunkan ATM termasuklah Farizal Harun, Aidil Zafuan, Zaquan Adha, Hairuddin Omar, Azmi Muslim serta dua tonggak import sensasi, Bruno Marteloto dan Marlon Alex James yang pernah beraksi hebat dalam Liga Malaysia satu masa dulu.

Gol pertama ATM hadir seawal minit kedua hasil jaringan penyerang import berpengalaman, Marlon Alex James dan dia sekali lagi mempamerkan sentuhan tajamnya dengan menyumbat gol kedua pada minit ke 22 untuk membolehkan ATM mendahului 2-0 untuk separuh masa pertama.

Dalam pada itu, separuh masa pertama turut menyaksikan layangan kad merah buat pemain NS Betaria, Saufi Ibrahim pada minit ke 29 akibat terjahan kerasnya terhadap Hairuddin Omar. Walaupun terus mengasak lawan pada babak kedua perlawanan, namun ATM gagal menambah jaringan sehingga tamat perlawanan.

Universiti Sains Malaysia (USM FC) pula bangkit di babak kedua setelah ketinggalan untuk menewaskan Pos Malaysia dengan keputusan 2-1 di Stadium USM. Gol sepakan percuma Elias Sulaiman di penghujung babak kedua memastikan USM FC mengutip mata penuh. Mohd Afzan Zainal sebelum itu menyamakan jaringan yang dilakukan Mohd Sani Nawi.

Di Stadium Temerloh, kemenangan berpihak kepada Pahang apabila menewaskan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC) dengan jaringan 1-0. Gol dijaringkan pada separuh masa kedua oleh pemain tengah, Mohd Hafiz Kamal.

Manakala di Stadium Pasir Gudang, pertembungan antara Johor dan pasukan PDRM menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1. Jaringan pemain import Johor, Esseh N’Sougan Adah pada minit ke 54 disamakan Norzie Ibrahim melalui sepakan penalti minit ke 71.

Sebelum itu, pada sebelah petangnya, Sime Darby FC menewaskan Harimau Muda B di Stadium MP Selayang dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Rosli Muda (27’) dan Mohd Zamri Hassan (65’) manakala gol saguhati Harimau Muda B diperolehi pada minit ke 90, jaringan oleh Muhd Ridzuan Abdunloh Pula.

Perlis pula dilihat memulakan langkah sumbang apabila tewas besar  2-7 di Stadium Sultan Ibrahim kepada pasukan MP Muar. Gol MP Muar dijaringkan oleh Mohd Alafi Mahmud dengan empat gol (24′,52′,56′,79′), dua gol dari Khairul Anwar Shaharuddin (9′,87′) dan Azuwad Arip (80′).

Kemenangan besar ini membolehkan pasukan MP Muar memimpin kedudukan Liga Perdana diikuti ATM ditangga kedua.