Connect with:




Ketua jurulatih baru pasukan Perlis, Manzoor Azwira Abd Wahid yakin persiapan setakat ini berjalan lancar bagi pasukan menghadapi saingan Liga FAM musim hadapan.

Bekas pengendali pasukan Kementerian Kewangan (MoF FC) itu merupakan calon terbaik untuk membawa Perlis kembali digeruni memandangkan beliau merupakan bekas pemain dan ketua pasukan Singa Utara itu suatu ketika dahulu.

“Insyallah bermula minggu hadapan saya akan berbincang dengan pengurusan mengenai pasukan pengurusan yang akan bersama saya untuk menghadapi saingan liga musim hadapan,”

“Hujung minggu ini dan minggu depan kami akan mengadakan pemilihan terbuka bagi pemain baharu yang akan dinilai oleh panel iaitu bekas jurulatih Kedah, Negeri Sembilan dan Perak iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah,” kata jurulatih berusia 41 tahun itu.

Manzoor menegaskan pemilihan pemain ini akan membabitkan pemain-pemain muda selain gabungan pemain berpengalaman yang pernah terlibat dalam Liga Perdana ataupun FAM.

Untuk rekod, antara kejuaraan yang pernah dikecapi oleh Manzoor sebagai pemain Pasukan Perlis ialah  Piala Malaysia pada tahun 2004 dan 2006  selain Liga Super 2005.