Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa pemain sayap Liverpool, Sadio Mane tidak bersalah.

Menurutnya, bintang Senegal tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan apabila dilihat bertindak mengasari penjaga gol City, Ederson.

Katanya, insiden berkenaan tidak disengajakan dan tidak sepatutnya Mane dilayangkan kad merah oleh pengadil.

“Mane tidak melihat Ederson dan hanya melihat bola tetapi tampak seperti berlaku kekasaran teruk.

“Saya tidak pasti insiden ini layak diberikan kad merah, bagaimanapun saya berasa lega pemain saya tidak mengalami kecederaan parah,” katanya.

Sementara itu, Guardiola juga mengakui ketiadaan Mane memudahkan kerja pemainnya mencari lebih banyak gol dan mendominasi perlawanan.

“Ketika situasi 11 lawan 11, permainan agak seimbang. Kedua-dua pasukan mempunyai banyak peluang.

“Tetapi setelah Mane dilayangkan kad merah, sedikit mudah untuk kami mencipta peluang dan hasilnya kami menang 5-0,” ujarnya.

Foto Kredit: Sports Mole