Connect with:




Skuad bimbingan Pep Guardiola berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana selepas membenam Manchester United 3-1 awal pagi tadi.

Hal ini sekaligus menyaksikan pendahulu liga perdana itu masih kukuh di tangga liga dengan kelebihan dua mata dihadapan Liverpool.

Sepanjang babak pertama, City dilihat selesa mendominasi perlawanan sejurus David Silva dengan bergaya membuka jaringan pendahuluan gol minit ke-12 menerusi hantaran Raheem Sterling.

Selang tiga minit pada babak kedua, Sergio Aguero bijak menggunakan peluang apabila menukar hantaran dengan Riyad Mahrez sekaligus dapat mengatasi David de Gea untuk meledak kemenangan berganda.

Dari sudut lain, Romelu Lukaku yang menggantikan Jesse Lingard pada minit ke-57 dijatuhkan dalam kotak penalti oleh penjaga gol City, Ederson sebelum Anthony Martial merapatkan jurang dengan menyempurnakan sepakan penalti.

City tanpa melengahkan masa sekali lagi berjaya mencetak jaringan ketiga pasukan pada minit ke-86 menerusi pemain gentian IIkay Gundogan bagi memastikan pasukan mereka terbaik di Manchester.

Dalam pada itu, Guardiola masih tidak senang dengan jurang tipis skuadnya ke atas Liverpool.

“Empat mata dari Chelsea, dua mata dari Liverpool, ianya tidak mempunyai sebarang makna namun ia sememangnya bagus terutamanya apabila melihat dari mana kami bermula.

“Orang akan bertanya adakah anda mampu mengekalkan kemenangan 100 peratus seperti musim lalu. Semua perlu berada dalam prestasi yang baik jika mahu mengekalkannya,” tegasnya.