KUALA TERENGGANU, 11 Nov- Penyerang berbisa Terengganu Abdul Manaf Mamat berkata beliau masih setia untuk bermain dengan skuad Penyu walaupun pernah dilamar pasukan lain.

Pemain berusia 25 tahun ini berkata Terengganu merupakan pasukan pertama yang diwakilinya dan telah melonjak namanya di persada bola sepak negara.

“Memang ada beberapa negeri memberi tawaran kepada saya, namun saya terpaksa menolak tawaran itu kerana hati saya masih kuat untuk bersama Terengganu.

“Lagipun saya masih mempuyai kontrak setahun lagi bersama skuad Penyu,” kata bekas pemain kebangsaan ini kepada Bernama. ¬†Anak kelahiran Kampung Nibong di sini ini mula menyertai skuad Terengganu sejak berumur 19 tahun. ¬†— BERNAMA