Ibarat diluah mati emak, ditelan mati bapak. Itulah situasi yang dialami pemenang pingat emas Sukan SEA ke-29, Muhammad Irfan Shamshuddin selepas kontrak jurulatihnya ditamatkan serta merta.
Atlet lempar cakera itu turut mempersoalkan kredibiliti dan wawasan yang diterapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam satu kenyataan yang dimuat turun di laman Facebooknya, Irfan kini menjalani latihan tanpa jurulatih dan tidak mempunyai sebarang peruntukan ke pusat latihan.
“Saya ingin bertanya Syed Saddiq, mula-mula anda bubarkan Podium. Kemudian kontrak jurulatih saya ditamatkan serta merta selepas saya pecahkan rekod kebangsaan 12 kali, tiga kali menang pingat emas Sukan SEA dan pingat perak Kejuaraan Asian yang dicapai bersama dengan jurulatih saya selama enam tahun dan elaun dipotong separuh.
“Boleh saya bertanya kepada YB, anda suruh atlet mencapai kejayaan, tapi anda tamatkan kontrak jurulatih saya dan saya ketika ini membayar sendiri jurulatih baharu. Sekarang anda beritahu saya, saya tiada jurulatih dan rancangan latihan luar negara juga tidak diluluskan. Adakah ini yang YB maksudkan dengan #youthpower (#kuasabelia),” kata Muhammad Irfan.
Bukan itu sahaja, atlet memanah negara iaitu Juwaidi Mazuki juga mengambil keputusan drastik apabila dia memutuskan untuk keluar dari Majlis Sukan negara dan Persatuan Memanah Malaysia berkuatkuasa semalam.
Nampaknya, ramai atlet sudah meluahkan apa yang tersirat sepanjang berada di bawah pimpinan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Sama-sama kita doakan agar industri sukan negara semakin maju seiring dengan misi dan sasaran yang ingin dicapai di bawah kendalian Kementerian Belia dan Sukan.
Foto: irfan_sham