Connect with:




Selepas kejayaan skuad hoki lelaki negara menempah tiket ke kelayakan Olimpik, kini giliran pasukan hoki wanita negara pula bakal merebut tiket ke kelayakan Olimpik.

Malaysian Tigress bakal korbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kerana perlu melakukan persiapan untuk menghadapi Kejohanan FIH Siri Akhir Wanita 2019 di Banbrigde, Ireland Utara dari 8 hingga 16 Jun ini.

Skuad hoki wanita negara perlu muncul antara dua pasukan terbaik dalam kejohanan itu untuk mengesahkan tiket ke pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Skuad bimbingan Muhammad Dharma Raj Abdullah akan menjalani latihan pada bulan Ramadhan dalam dua sesi sehari iaitu dari jam 3 hingga 4.30 pagi dan 9 hingga 11 malam.

Walaupun agak sukar untuk bangun seawal 3 pagi dan berlatih, namun mereka tetap perlu berlatih kerana mereka akan menghadapi pasukan yang lebih kuat seperti Korea Selatan dan Ireland.

Mungkin ini juga peluang terakhir untuk beraksi di Sukan Olimpik buat beberapa pemain yang mungkin akan bersara selepas kejohanan ini. Jadi mereka perlu berusaha dengan lebih gigih dan menampilkan aksi terbaik bagi memburu dua tiket untuk ke pusingan kelayakan terakhir.

Untuk kejohanan ini, Malaysia yang berada di ranking ke-22 dunia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama dengan tuan rumah, Ireland (8), Republik Czech (19), dan Singapura (35). Manakala, Kumpulan B terdiri daripada Korea Selatan (11), Scotand (18), Ukraine (26) dan Perancis (30).

Dharma Raj berharap skuad negara dapat menduduki sekurang-kurang tempat ketiga dalam kumpulan sebelum beraksi pada perlawanan playoff untuk memburu tempat ke peringkat separuh akhir.

Berdasarkan peraturan, juara kumpulan akan layak secara automatik ke separuh akhir manakala dua lagi pasukan separuh akhir ditentukan menerusi playoff.

Malaysian Tigress akan berlepas ke Rome, Itali pada 23 Mei untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan, kemudian ke Glasgow, Scotland pada 1 Jun sebelum ke Ireland pada 6 Jun.

Foto : Stadium Astro