Connect with:




Skuad hoki negara mengharapkan prestasi terbaik dipamerkan pemain penyerang, Faizal Saari yang berjaya meledak tiga gol daripada dua perlawanan di kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2018 di Muscat, Oman ketika ini mampu diteruskan.

Menurut laporan akhbar Kosmo !, mesin gol Malaysian Tigers itu bercita-cita untuk terus menemui sentuhan jaringan dalam membantu rakan sepasukannya meraih kemenangan ke-3 berturut-turut apabila skuad negara dijadual bertemu Korea Selatan di Kompleks Sukan Sultan Qaboos malam ini.

Namun begitu, Faizal, 27, mengakui perlawanan menentang Korea Selatan nanti bukannya tugas yang mudah, tambahan pula pasukan lawan yang mengalami dua kekalahan berturut-turut ketika bertemu Pakistan (1-3) dan Jepun (0-2) pastinya dahagakan kemenangan.

“Enam mata daripada dua perlawanan tentu saja amat bagus buat pasukan namun masih banyak perkara yang boleh diperbaiki lagi.

“Kami tidak boleh terleka mahupun ambil mudah cabaran Korea Selatan, meskipun telah mengalami dua kekalahan berturut-turut, mereka bukanlah calang-calang pasukan. Saya akan terus berusaha beri yang terbaik untuk pasukan meraih kemenangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Meskipun telah meraih dua kemenangan bersih apabila menewaskan Jepun 3-0 pada aksi pembukaan sebelum mengejutkan pasukan tuan rumah, Oman dengan keputusan 3-1 kelmarin, skuad bimbingan Roelant Oltmans itu harus elakkan diri dari melakukan kesilapan mudah disamping mempertajamkan jentera serangan.

Untuk rekod, skuad negara berjaya meraih enam kemenangan, empat seri dan 11 kekalahan daripada 21 pertembungan semenjak Sukan Olimpik 1966 di Atlanta, Amerika Syarikat.

Kemenangan terakhir skuad negara ke atas Korea Selatan adalah pada peringkat liga sepusingan Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh di mana Malaysian Tigers mencetakkan kemenangan tipis 2-1.

 

Sumber : Kosmo!

Foto : Facebook Malaysian Hockey Confederation