Pasukan hoki wanita negara kini membuat persediaan menjelang Sukan Komanwel Gold Coast dari 5 hingga 14 April ini dengan berlatih bersama skuad bawah-21 Jepun.

Anak buah Dhaarma Raj Abdullah yang beraksi dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini,tewas aksi pertama 1-3 sebelum menang 3-1 pada perlawanan kedua.

Mereka akan beraksi dalam dua lagi perlawanan pada Khamis dan Jumaat di Stadium Hoki Bukit Jalil.

Skuad hoki wanita negara diundi dalam Kumpulan A di Gold Coast bersama-sama England, India, Afrika Selatan dan Wales.

“Kami tewas pada perlawanan persahabatan pertama kerana pasukan kembali bersama selepas beraksi di Liga Hoki Malaysia dan ramai yang berdepan masalah menyelesaikan soal pelepasan tugas dan pembelajaran,” kata Dhaarma Raj.

“Kami perlu mendapatkan mata ketika menentang Wales kerana ranking kami di atas Wales.

“Pasukan lain mempunyai ranking lebih tinggi dan kami akan bermain sebaik mungkin,” kata Dhaarma Raj.

England di ranking kedua, India ke-10 dan Afrika Selatan ke-14. Malaysia di ranking ke-22 sementara Wales di ranking ke-26.