Connect with:




Kanser merupakan penyebab ketiga kematian di Malaysia dengan menyumbang kepada angka 13.56 peratus kematian pada 2016 berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan.

Lebih daripada 100 ribu kes baru kanser didaftarkan pada tahun 2007 hingga 2011 dengan 45.2 peratus melibatkan pesakit lelaki dan 54.8 peratus pesakit wanita.

Faktor risiko pula, kebarangkalian lelaki mendapat kanser adalah 1 dalam 10 manakala dalam kalangan wanita, 1 dalam 9 orang.

Lima kanser yang paling biasa dihidapi lelaki ialah kanser kolorektum sebanyak 16.3 peratus, paru-paru (15.8 peratus), nasofarinks (8.1 peratus), limfoma (6.8 peratus) dan prostat (6.7 peratus).

Bagi wanita pula, lima kanser yang biasa dikesan golongan itu ialah kanser payudara sebanyak 32.1 peratus, kolorektum (10.7 peratus), serviks uteri (7.7 peratus), ovari (6.1 peratus) dan paru-paru (5.6 peratus).

Itu statistik dan nombornya yang sudah cukup membuatkan kita tidak senang duduk.

Kanser dan Beban Ekonomi

Kajian yang dilaksanakan oleh The George Institute for Global Health mendedahkan kanser bakal menjadi beban yang besar kepada masyarakat dan sistem penjagaan kesihatan di rantau ini jika sebarang langkah proaktif tidak diambil oleh semua pihak.

Kajian tersebut menunjukkan hampir separuh daripada 9,513 pesakit kanser yang menerima rawatan susulan pada bulan ke-12, telah berdepan dengan bencana kewangan, manakala 29 peratus telah meninggal dunia. Selain itu, hampir separuh atau 44 peratus daripada pesakit yang masih hidup mengalami kesusahan ekonomi akibat kanser, dan kebanyakan pesakit akhirnya terpaksa menggunakan wang simpanan mereka.

Sebagai contoh, purata kos rawatan untuk kanser payudara mampu mencecah sehingga AS$15,000 (RM66,343) setahun. Pesakit yang berpendapatan AS$1,100 (RM4,866) sebulan atau lebih rendah, akan mengalami kesukaran untuk membayar kos rawatan mereka.

Jurang dalam Kesedaran Pencegahan Kanser dan akses kepada Rawatan Terbaik

Tidak dapat dinafikan, masyarakat awam sudah lama celik mengenai kanser yang membunuh. Kesedaran sahaja tidak mencukupi jika mereka tidak diperkasakan dengan akses kepada saringan dan jika mereka menghidap kanser, bagaimana pula akses kepada rawatan terbaik dan bagaimana pula kosnya?

Persoalan-persoalan ini semestinya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk bertindak secara aktif bagi mewujudkan sistem sokongan yang lebih berkesan.

Sesudah menerima diagnosis akan kehadiran kanser, ianya ibarat satu besar jatuh ke atas bahu. Beratnya beban apatah lagi membayangkan rawatan kemoterapi yang perit entah bagaimana rasanya. Rawatan Kemoterapi bukan satu-satunya kaedah mengubati kanser. Kaedah terapi bersasar seperti Terapi Sel Kanser, Terapi Fotodinamik dan Infusi anti kanser merupakan di antara pilihan rawatan yang ada. Tapi sejauh mana tahap ketersediaan sistem kesihatan awam dalam menggunapakai pilihan-pilihan rawatan tersebut. Apa pula jurangnya? Adakah teknologi, tenaga mahir mahupun kos. Dan apa pula kosnya?

Ada sinar di hujung terowong

Minggu ini, 1 hingga 4 Oktober 2018, berlangsungnya Kongres Kanser Dunia dan Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Kanser Dunia 2018 serentak, julung kalinya diadakan di Malaysia.

Acara penting dalam kalendar kesihatan dunia ini membawa 3000 pakar kesihatan dan kawalan kanser dari 150 buah negara untuk berkongsi ilmu dan amalan terbaik bagi membendung kanser di peringkat global.

Acara ini juga pertama kali diadakan di Asia Tenggara.

Dianjurkan oleh Kesatuan Untuk Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC) dan dihoskan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan tema ‘Strengthen, Inspire, Deliver’, kongres ini bakal menampilkan sesi perbincangan plenari pelbagai disiplin rawatan kanser, acara sosial dan ramahmesra di antara jaringan industri, perdebatan dan kursus pakar yang berharap dapat mengukuhkan pemahaman para delegasi mengenai keadaan semasa kawalan kanser di peringkat global. Selain itu, kongres ini juga diharapkan dapat mempercepat perkembangan kawalan kanser di peringkat kebangsaan dan serantau.

Antara pakar dalam rawatan kanser yang mengesahkan kehadiran mereka, Hello Doktor berasa teruja untuk bertemu 9 pakar ini dan mendengarkan sesi perkongsian ilmu mereka. Mereka adalah:

  1. Christopher P. Wild dari Agensi Kajian Kanser Antarabangsa akan membentangkan data GLOBOCAN 2018 di mana data tersebut mendedahkan terdapat 18.1 juta kes kanser baru dan 9.6 juta kematian akibat kanser untuk tahun ini.
  2. Dr Frank Chaloupka dari University of Illinois at Chicago, akan membincangkan mengenai impak kanser dan penyakit kronik lain terhadap ekonomi serta bagaimana ingin mendapatkan pembiayaan kerajaan untuk kawalan kanser menggunakan analisis ekonomi.
  3. Dr MR Rajagopal dari Pallium India, merupakan calon Hadiah Nobel Keamanan Dunia yang ditulis oleh New York Times sebagai ‘Bapa Penjagaan Palliatif India’, akan berkongsi buah fikiran dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan lebih mampan dan meningkatkan kesan positif rawatan kanser.
  4. Bettina Reinboth, Prinsipal di PBB untuk Pelaburan Bertanggungjawab, membincangkan pelaburan bertanggungjawab dalam mencari rawatan terbaik untuk kanser.
  5. Dr Panagiota Mitrou dari Tabung Antarabangsa Kajian Kanser Dunia akan berkongsi dapatan kajian saintifik perkaitan di antara dirt, nutrisi dan aktiviti fizikal, berat badan dan pencegahan kanser.
  6. Professor Richard Sullivan dari King’s College London akan membicarakan mengenai penggunaan ‘augmented’ dan ‘virtual reality’ dalam memberi latihan kepada pakar bedah kanser kolorektal dalam keadaan sumber terhad, dan akan membentangkan saranan polisi bagi meningkatkan akses kepada penjagaan kanser di wilayah bergolak dengan perang dan penempatan pelarian.
  7. Dr Rob Moodie dari Institut Kesihatan Global Nossal, akan memberi garis panduan mengenai 7 taktik yang kurang digunakan oleh pemain industri bagi mempromosi polisi kesihatan awam dan membentangkan perpindahan/perkongsian strategi dari negara berpendapatan tinggi kepada negara dengan pendapatan kecil.
  8. Dr Diana Sarfati dari Kumpulan Kajian Kawalan dan Saringan Kanser, akan membincangkan mengenai strategi untuk mengurangkan kebarangkalian kanser dan meningkatkan output kawalan kanser di peringkat populasi.
  9. Thomas Cueni dari Kesatuan Antarabangsa bagi Persatuan dan Pengeluar Farmaseutikal akan memberi buah fikirannya bagaimana transformasi kerjasama sektor awam-swasta dapat mengukuhkan sistem kesihatan.

Kongres ini juga akan menerima kunjungan hormat daripada Menteri Kesihatan Malaysia dan para delegasi rasmi daripada kerajaan Malaysia. Sekaligus menandakan komitmen kerajaan Malaysia dalam menangani kanser dengan lebih efektif.

Selain itu, Ketua-ketua Negara, Menteri-menteri Kesihatan Global, pemimpin NGO, perwakilan tertinggi WHO, Bank Dunia, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Agensi Antarabangsa untuk Kajian Kanser (IARC) dan Program Kerjasama PBB mengenai HIV dan AIDS (UNAIDS) turut mengesahkan kehadiran mereka kali ini.

Ini sudah tentunya memberikan signal kepada masyarakat global yang kita perlu bersatu-padu dan mengembleng tenaga dalam menangani kanser dengan lebih berkesan.

Kami di Hello Doktor, senada dengan para delegasi Kongres Kanser Dunia, oleh kerana itu, kami sentiasa berusaha yang terbaik demi menyampaikan informasi dan kesedaran mengenai kanser kepada segenap masyarakat. Iltizam kami terhadap pencegahan kanser dizahirkan dengan pelbagai artikel yang ditulis mengikut jenis kanser di bawah kategori Pusat Kesihatan. Di situ, para pembaca dapat memahami mengenai kanser, mendapatkan informasi bagaimana menghadapi kanser dan bagaimana kita dapat menjadi sistem sokongan terbaik bagi orang yang tersayang yang menghidap kanser.

Diharapkan Kongres Kanser Dunia 2018 di Kuala Lumpur kali ini dapat memberikan lebih banyak dapatan dan kerjasama dalam kalangan pemain industri dan pemegang taruh mengenai pencegahan dan rawatan kanser yang efektif.

Bagi mendapatkan informasi mengenai Kongres Kanser Dunia, anda boleh layari https://www.worldcancercongress.org/

 

Artikel ini disediakan oleh Hello Doktor.