Connect with:




Skuad B-19 tahun negara tewas 0-2 kepada Aumori Yamada dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Kejohanan Piala Sanix di Stadium Global Arena, Fukuoka, hari ini.

Beraksi dalam suhu di bawah 9 darjah celsius, pemain negara tampak sukar untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang yang berbeza dengan padang latihan.

Ketua jurulatih, Bojan Hodak, menurunkan beberapa pemain berpengalaman seperti T. Saravanan dan ketua pasukan merangkap penjaga gol, Firdaus Irman Fadhil.

Separuh masa pertama menampakkan penguasaan penuh Aomori Yamada menerusi serangan bertali arus ketika skuad negara masih tercari-cari rentak permainan.

Firdaus diuji seawal minit ketiga sebelum tandukan Yusei Utida pada minit kelapan hampir-hampir menerjah gawang Malaysia.

Kegusaran Hodak sampai ke kemuncak apabila gawang Malaysia dibolosi Yudai Fuziwara sebelum tamat babak pertama.

Dengan ketinggalan satu gol, skuad negara cuba bangkit dalam aksi babak kedua. Luqman Hakim Shamsudin, yang tenggelam dalam separuh masa pertama, memperoleh dua percubaan terbaik, namun dia gagal memanfaatkan kesempatan itu.

Kegagalan itu mengakibatkan Malaysia sekali lagi dihukum apabila Aomori Yamada menggandakan kelebihan mereka menerusi Yoshitaka Furusawa dalam waktu kecederaan.

Hodak berkata masalah yang timbul adalah kami dibolosi pada saat-saat akhir babak pertama dan kedua.

“Ia berlaku ketika pemain kami tertekan dan tahap konsentrasi menurun. Mereka perlu belajar daripada kesilapan ini, namun terdapat beberapa perkara positif yang dapat diambil daripada perlawanan ini. Saya berharap pasukan ini dapat beraksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya”, kata Hodak. – Stadium Astro

Foto : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)