Hasrat Malaysia untuk layak hingga ke separuh akhir tampak tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada Indonesia di suku akhir dalam Kejohanan Piala Thomas malam tadi.

Lee Chong Wei turun selaku pemain pertama ternyata menepati ramalan apabila berjaya memberi mata pertama untuk kem negara. Lee Chong Wei mencatat kemenangan ke atas Anthony Sinisuka Ginitng 21-19, 21-16.

Goh V Shem – Tan Wee Kiong turun dalam perlawanan kedua dengan harapan mampu menjarakkan kedudukan namun ia tidak terjadi setelah regu Indonesia berjaya menang keatas regu negara, 21-19 20-22 21-13 dalam pertarungan rubber set sekali gus Indonesia kembali menyamakan kedudukan 1-1.

Perlawanan terus rancak kali ini menyaksikan pemain muda perseorangan negara, Lee Zii Jia mempamerkan kematangan dalam perlawanan ini meskipun kali pertama menyertai kejohanan ini dan berjaya memberi tentangan sengit kepada Jonatan Christie.

Jonatan terpaksa berhempas pulas untuk mencatat kemenangan ke atas Lee Zii Jia dalam pertarungan rubber set, 21-15, 11-21, 21-13 dalam masa 48 minit.

Setelah ketinggalan 1-2 kepada Indonesia, kini harapan mula tersandar di bahu regu nombor dua negara, Aaaron Chia- Teo Ee Yi untuk menyamakan kembali kedudukan.

Tewas dalam set pertama namun mereka berjaya bangkit untuk menang set kedua sekali gus membawa perlawanan ke rubber set untuk menentukan pemenang.

Dalam set penentuan ini menyaksikan regu negara terus lakukan kesilapan dan memberi mata mudah kepada lawan. Regu Indonesia, Fajar Alfian- Muhammad Rian Ardianto menang 21-18, 10-21, 21-9 dan memberi mata  ketiga serta bawa Indonesia ke separuh akhir.

Foto Kredit : Badminton Association of Malaysia – BAM