Connect with:




Seramai 302 peserta cilik antara umur 2 hingga 8 tahun telah mengambil bahagian dalam pertandingan basikal tolak dan kemungkinan bakal menjadi pelapis sukan berbasikal lahir dari kejohanan ini.

Strider Malaysia, selaku pengeluar basikal tolak terkemuka dunia dan pengajuran kejohanan, Team Floww Kitt Bike telah menganjurkan STRIDER Cup 2019 di Pusat Membeli Belah Mytown, Cheras semalam bermula pada 23 Februari.

Untuk pertama kali di Malaysia, kategori terbuka basikal 14 inci ataupun 14x telah dipertandingkan dalam kejohanan ini.

Lebih menarik, pelumba cilik, Imran Ismail yang telah menjadi rakyat Malaysia pertama menjuarai kategori 14x pada Kejohanan Strider Cup dunia di Colorado pada Julai 2018 yang juga memberi saingan kepada perserta cilik yang lain.

Zailee Abidin dan anaknya Nur Elyna Zafirah yang turut memenangi tempat ke-5 dalam kategori 4 tahun dalam Kejohanan Malaysia STRIDER Cup 2019 yang berlansung di Pusat Membeli Belah Mytown, Cheras

Menurut Zailee Abidin, 35, bapa kepada pelumba cilik, Nur Elyna Zafirah, 4, pembangunan basikal tolak ini perlu diteruskan bagi meningkatkan tahap keyakinan kanak-kanak dan keberanian mereka.

“Program ini sangat bagus diteruskan kerana mampu meningkatkan mental mereka untuk terus maju kehadapan terutamanya apabila mereka menang dan mahu ke peringkat lebih tinggi.

“Malah mampu mengelakan kanak-kanak lebih cenderung kearah penggunaan gadjet dan mereka lebih bercampur dengan kawan-kawan lain dengan adanya basikal tolak ini,” kata Zailee.

Dalam kejohanan tersebut yang terbahagi sebanyak enam kategori dipertandingkan yang disertai peserta dari Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia bagi merebut gelaran juara Malaysia STRIDER Cup 2019 setiap kategori umur dan kategori terbuka.

Foto : Syahir Zamri/Dunia Sukan