Connect with:




Skuad silat negara menampilkan aksi cemerlang apabila menambah dua lagi pingat emas pada hari terakhir Kejuaraan Pencak Silat Dunia ke-18 di Arena OCBC, Singapura, pada Ahad.

Hal itu sekaligus menyaksikan secara keseluruhannya, Malaysia mengumpul sebanyak tiga emas setelah gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga yang turut meraih pingat emas dalam acara silat seni regu putra pada hari pertama pertandingan yang bermula Khamis lepas.

Semalam, aksi yang membabitkan Siti Rahmah Mohamed Nasir selaku juara dunia menepati ramalan selepas mengekalkan gelaran juara dalam kelas Puteri E (51-54 kg) menewaskan Rizka Andini dari Indonesia 5-0, demikian menurut laman sesawang kejohanan; www.wpsc2018.com.

Lebih mengharukan, emas tersebut adalah yang keempat untuk anak jati Terengganu itu yang pernah meraih pingat emas pada tiga edisi terdahulu – 2012, 2015 dan 2016.

Terdahulu, Mohamad Hazmi Amzad mencipta kejutan selepas memenangi pingat emas kelas Putera C (45-48kg) dengan mengalahkan pesilat Thailand, Adilan Chemaeng 4-1 pada aksi pertarungan akhir.

Dalam pada itu, hasrat seorang lagi wakil negara, Nor Farah Mazlan untuk meraih pingat emas tidak kesampaian setelah tewas 2-3 kepada pesilat Indonesia, Suci Wulandari pada aksi final kelas Puteri A (39-42kg).

Sumber: Bernama