Malaysia Perlu Membolot lebih Banyak kemenangan berbanding Jumlah Gol – Kim Swee

Jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun (B-22), Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak buahnya dalam perlawanan menentang Brunei malam tadi.

Walaupun sekadar menang tipis dengan Brunei 2-1,beliau berkata mengutip mata adalah lebih penting daripada menjaringkan lebih banyak gol kerana kemenangan itu dapat tingkatkan lagi keyakinan pemain untuk menghadapi Singapura, Rabu ini.

“Pasukan negara banyak terlepas peluang selepas Brunei berkampung di kawasan pertahanan dan menyukarkan lagi untuk mendapatkan gol, tetapi saya gembira kerana mereka pulang dengan tiga mata penuh,” katanya.

Perlawanan ini menunjukkan bahawa pasukan Malaysia tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila rembatan Muhd Safawi Rashid telah membolosi gawang Brunei pada minit keempat sebelum penyerang lawan, Mohamed Zulkhairy Hady Razali beri kejutan dengan gol penyamaan di minit ke-12.

Adam Adlin telah menyelamatkan gawang Malaysia dengan menjaringkan gol ke dalam gawang pasukan Brunei menerusi tandukannya di minit ke-60.

Kim Swee turut memuji persembahan beberapa muka baharu khususnya Muhd Safawi cepat menyesuaikan dirinya dengan pemain lain walaupun hanya menjalani latihan beberapa minggu menjelang temasya sukan dwitahunan itu.

Jurulatih Brunei, Kwon Oh Son akui bahawa anak buahnya gementar bermain dalam perlawanan pertama yang dihadiri oleh 3,000 penyokong tuan rumah.

Foto kredit: Majlis Sukan Negara