Perlawanan pembuka tirai acara bola sepak negara bagi Sukan Sea 2017 menyaksikan Malaysia menewaskan  Brunei di Stadium Shah Alam dengan jaringan 2-1.

Skuad Dato’ Ong Kim Swee bermula garang dengan menjaringkan gol seawal minit ke-4 melalui bintang muda dari Johor Darul Takzim iaitu Safawi Rasid. Gol terhasil melalui hantaran cantik dari sebelah kanan oleh Matthew Davis sebelum disudahkan dengan teknik voli yang baik oleh Safawi Rasid.

Namun, kegembiraan pasukan negara tidak bertahan lama apabila Zulkhairy Hady berjaya melepasi perangkap ofsaid pasukan negara dan mudah menewaskan penjaga gol Ifwat Akmal menjadikannya kedudukan 1-1.

Tersentak dengan jaringan penyamaan oleh pasukan Brunei, pasukan negara terus menerus melancarkan serangan melalui rangkaian serangan Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Jafri Chew. 

Malaysia memulakan separuh masa kedua dengan corak menyerang dan hasilnya sekali lagi Safawi Rasid menjadi ‘duri dalam daging’ apabila hantaran lintangnya ditanduk oleh Adam Nor Azlin untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-59.

Selepas jaringan itu, permainan dikuasai oleh Malaysa tetapi tiada tuah buat pasukan negara untuk menambah jaringan ketiga. 

Keputusan 2-1 ini membawa Malaysia di tangga kedua kumpulan A, berkongsi mata dengan Myanmar yang menang 2-0 pada perlawanan yang diadakan sebelah petang.