Connect with:




Buat julung kalinya, Country Heights dengan kerjasama Goldensport Enterprises mengumumkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Festival GT Asia yang akan berlangsung pada 5 -17 Mac 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Perlumbaan ini menyaksikan lebih daripada 30 kereta GT dari seluruh dunia bakal merebut hadiah terkumpul sebanyak RM5.45 juta.

Menurut Pengarah Eksekutif Country Heights, Matahari Lee, selain ia sebagai penghargaan buat mereka yang mengadakan festival ini buat pertama kali di sini, hal ini juga dapat mengetengahkan lagi bakat baru anak muda yang mahir dalam sukan ini.

“Melalui Festival GT Asia ini, kami mahu memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai perlumbaan empat roda,” kata Pengarah Eksekutif Country Heights, Matahari Lee pada sidang media, semalam.

“Selain itu, matlamat kami adalah untuk memberi peluang kepada pelumba-pelumba Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada acara perlumbaan yang terkenal di peringkat antarabangsa.”

Trofi yang bakal menjadi rebutan 30 pelumbat GT seluruh dunia.

Mengulas lanjut, acara berkenaan juga dijadikan sebagai batu loncatan bagi pihak Country Heights dan Pusat Bandar Kereta Muda ke arah visi mereka untuk membangunkan gaya hidup automotif dan industri motorsports negara.

“Sejak tahun lepas, kami telah merancang untuk memperluaskan rangkaian Asia GT ke rantau ini dan Malaysia menjadi pilihan terbaik sebagai medan permulaan kerana rata-rata ramai peminat motorsport di Malaysia,” kata pengasas Goldenport Enterprises, Jim Ye.

Sepanjang tiga hari acara itu berlangsung, pengunjung dapat menonton perlumbaan kategori GT3 dan GT4 dan perlumbaan sokongan dari Malaysia Speed Festival (MSF) yang akan menampilkan kereta yang telah diubah suai tahap enjin dan prestasinya.

Tiket Festival GT Asia kini boleh didapati menerusi laman Facebook MotoNation atau di laman web rasmi mereka (motonation.com.my) bermula RM20 hingga RM350.