Connect with:




Buat julung kalinya, Malaysia akan menghantar kontijen terbesar ke Kejohanan Tarik Tali Dunia Dalam Dewan (TWIF) 2018 di Xuzhou, China, bermula Khamis ini.

Acara yang membabitkan sebanyak 25 negara itu disertai oleh empat pasukan terdiri daripada lebih 90 peserta dari Malaysia.

Menurut Zolkefli Ahmat selaku Presiden Persatuan Tarik Tali Malaysia (MTWA), kali ini, Malaysia merupakan kontijen terbesar yang akan menyertai kejohanan itu.

“Kami berharap kontijen kita dapat mengharumkan nama Malaysia dengan menjuarai  sekurang-kurangnya satu kategori,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kontinjen Malaysia.

Tiga kategori akan dipertandingkan iaitu wanita bawah 23 tahun, dua pasukan untuk kategori lelaki bawah 23 tahun dan satu pasukan bagi kategori 23 tahun dan ke atas.

Sehubungan itu, majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Anggota Parlimen Titiwangsa. Turut hadir Exco Pelancongan Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.

Johari menjelaskan penyertaan kali pertama ini membuktikan Malaysia mampu bersaing di persada antarabagnsa dan memiliki bakat dalam pelbagai sukan.

Sementara itu, Zolkefli berkata MTWA turut bercadang untuk menjadikan tarik tali sebagai satu sukan di institusi pengajian tinggi(IPT) di negara dan dijangka bakal dilaksanakan September ini.

Beliau berkata, pada 23 Julai nanti, Malaysia akan menjadi tuan rumah buat kali pertama kejohanan tarik tali peringkat antarabangsa membabitkan 450 negara di Langkawi.

Malaysia pernah bertanding di Thailand dan Mongolia tetapi inilah kali pertama menghantar kontinjen terbesar ke peringkat antarabangsa. — BERNAMA

Foto Kredit: Berita Harian