Arsenal FC menumpaskan skuad kebangsaan Malaysia dengan jaringan 2-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Perlawanan yang dihadiri lebih 40,000 penonton yang hadir seawal jam 8 dimulakan dengan Malaysia membuat percubaan Aidil Zafuan yang merembat jauh yang menguji penjaga gol Arsenal, Vito Mannone.

Arsenal kemudian membalas  pada minit ke-11 melalui rembatan Maroune Chamakh namun Farizal Marlias menampan kemas sebelum dikeluarkan oleh Subramaniam.

Farizal sekali lagi cemerlang menyelamatkan gawang Malaysia apabila menggagalkan cubaan Gervinho selang lima minit kemudian.

Malaysia yang kental bertahan serta penguasaan bola berlegar di separuh padang sekali sekala menyerang namun mudah dipatahkan pertahanan Arsenal.

Pada minit ke-24, Malaysia memperolehi sepakan percuma setelah S. Kunanlan dijatuhkan namun sepakan yang diambil Safiq Rahim ditampan Mannone untuk sepakan sudut.

Kegagalan Azammuddin Akil membuat hantaran tepat menyebabkan gawang Malaysia hampir dibocori pada minit ke-35 apabila Chamakh dan Santos membuat larian satu dua namun sentuhan penyudah Santos tersasar di kanan pintu gol.

Azamuddin menebus kesilapan beliau apabila membuat percubaan selang seminit kemudian tetapi dapat didakap kemas Mannone.

Kemasukan Shahurain Abu Samah dan Gary Steven Robbat menggantikan Azzamuddin Akil dan Shakir Saari membuahkan hasil apabila corak serangan mula bertukar dan gol yang dicari akhirnya muncul di penghujung babak pertama apabila Azmi Muslim merembat cantik dari luar kotak penalti ke penujuru kiri gol menewaskan Mannone.

Bermula babak kedua Arsenal menukar hampir kesebelasan utama bagi menguji barisan pemain serta mencari gol penyamaan namun begitu Malaysia lebih banyak menguji lawan dengan beberapa percubaan berbahaya melalui Gary Steven Robbat dan Safee Sali yang berjaya memperdaya dua pertahanan namun diselamatkan Mannone.

Arsenal pantas menyerang balas dengan beberapa percubaan dan yang terbaik melalui Benik Afobe tetapi menggegar tiang pada minit ke-55 walaupun Farizal sudah tertewas.

Gol yang dicari Arsenal akhirnya muncul pada minit ke-85 melalui Thomas Eisfeld yang mendapat hantaran daripada Nico Yennaris . Selang dua minit kemudian Arsenal menggandakan gol daripada Chuks Aneke setelah percubaan beliau terbias pertahanan Malaysia, Amiridzwan Taj