Jepun telah mempergunakan segenap ruang dan peluang yang terhidang ketika menewaskan Malaysia 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam aksi kelima Kumpulan C, kelayakan Sukan Olimpik London 2012 malam tadi.

Dari awal perlawanan, skuad negara dilihat tenggelam melayan asakan Samurai Biru yang turun dengan hajat mencari kemenangan besar agar boleh mengatasi Syria di kedudukan teratas kumpulan ketika ini.

Jepun menguasai sepenuhnya perlawanan dengan bahagian tengah skuad negara jelas gagal bergerak ketika bertahan mahupun menyerang walaupun telah menyenaraikan barisan terbaik seperti Irfan Fazail, Mohd Nazmi Faiz, Fandi Othman dan Wan Zaharulnizam.

Bahagian pertahanan pula gagal mengendurkan asakan lawan dan sering mengundang bahaya ke gol sendiri. Mungkin akibat kehilangan sentuhan salah seorang pertahanan kental, Mahali Jasuli yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan telah memperlihatkan kelonggaran pertahanan lain yang turut dibarisi Mohd Amer Saidin, Mohd Fadhli Shas dan Zubir Azmi.

Gawang negara yang dikawal rapi kapten, Khairul Fahmi Che Mat dirobek pada minit ke-34 akibat pertahanan yang lambat turun untuk menahan serangan pantas lawan yang dijana Genki Haraguchi dan disempurnakan oleh pertahanan kanan, Hiroki Sakai.

Dua minit sebelum babak pertama ditamatkan, tandukan Yuya Osako menewaskan Khairul Fahmi untuk kali kedua hasil sepakan percuma di bahagian kiri gol. Walaupun cuba diasak dua pertahanan negara, Yuya jelas lebih bersedia untuk menyudahkan hantaran tersebut.

Aksi babak kedua terus menyaksikan skuad negara gagal merencana serangan berkualiti ke kubu skuad kendalian Takashi Sekizuka itu. Malah, Jepun pula dilihat makin berselera menambah asakan ke kubu negara untuk mencari seberapa banyak gol untuk dibawa pulang.

Pada minit ke-54, berpunca dari kegagalan pertahanan untuk mengeluarkan bola dari kawasan sendiri dimanfaatkan Jepun dengan satu hantaran silang cantik Hiroki Sakai ke depan pintu gol. Khairul Fahmi yang keluar dari posisinya gagal menghalang hantaran tersebut membolehkan Genki Haraguchi yang tidak dikawal menampan masuk bola tersebut.

Lima minit kemudian, gawang skuad kendalian Ong Kim Swee bergegar lagi menerusi jaringan Manabu Saito yang mudah menampan masuk bola yang ditepis lemah Khairul Fahmi hasil rembatan kencang dari luar kotak penalti, sekali lagi dari kesilapan pertahanan yang gagal mengeluarkan bola dengan baik dari kawasan gol sendiri.

Jepun mengambil alih kedudukan teratas Kumpulan C dengan 12 mata, tiga mata di depan Syria yang akan turun menentang Bahrain lewat malam ini. Dengan kekalahan ini, skuad Olimpik negara masih gagal meraih sebarang mata dan akan berkunjung ke Syria untuk aksi terakhir kumpulan 14 Mac nanti.