Jurulatih ragbi negara, Hoon Boon Chee menggariskan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dan keserasian antara pemain, sebagai dua faktor yang menguatkan keyakinannya bahawa Malaysia mampu menewaskan China di separuh akhir Kejohanan 5 Negara Asia HSBC (Divisyen 2 & 3), 31 Mei depan.

Meskipun tidak mempunyai gambaran jelas mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lawan, Boon Chee optimis pemainnya berupaya menandingi China dari segenap aspek dan seterusnya mengesahkan tiket beraksi di fina.

“Saya pasti China tidak akan memberi laluan mudah, mereka akan beri tentangan sengit, sebab kita sama-sama nak merebut tiket ke final, sama-sama mahu layak ke Divisyen 1, tetapi dengan kelebihan yang kita miliki, saya cukup yakin dengan peluang kita, saya boleh kata ianya 60-40. Kita tidak tahu kekuatan sebenar mereka, yang saya tahu pemain mereka agak besar, tetapi kita boleh menandingi mereka,” ujar Boon Chee.

Beliau ditemui ketika mengendalikan perlawanan persahabatan pasukannya menentang Pilihan Kelab Diraja Selangor (RSC), yang juga bertindak sebagai sebagai sesi terakhir pemilihan pemain yang akan membawa cabaran di kejohanan itu petang tadi.

Perlawanan itu yang merupakan perlawanan pertama skuad ragbi negara sejak menjalani latihan pusat sejak 14 Mei lalu, turut memberi ruang kepada Boon Chee untuk mengenal pasti dan memperbaiki sebarang kesilapan di dalam pasukannya, ketika tinggal kurang seminggu sebelum perlawanan berlangsung.

Daripada 35 pemain yang terlibat di dalam sesi pemilihan, hanya 24 pemain akan disenarai Boon Chee untuk didaftarkan, termasuk 3 pemain import dari Fiji iaitu Kini Rasasolosolo, Timoci Nacocola dan Viliame Veto, dan Boon Chee berpendapat semua pemain telah diberikan peluang sama rata untuk memikat panel kejurulatihan.

Dalam pada itu, Kini Rasasolosolo, yang sudah 7 tahun beraksi bersama pasukan negara berkata motivasi di kem negara ketika ini cukup tinggi, dan akan melaungkan keyakinan Malaysia akan menamatkan saingan Divisyen 2 selaku juara.

“Kita pernah menewaskan mereka sebelum ini, jadi tidak ada sebab kita tidak dapat mengulanginya, pemain semua cukup komited dan tidak sabar menanti kejohanan bermula. Keserasian dan persefahaman antara pemain juga berada di tahap terbaik, kawa-kawan saya ada sudah 8 atau 9 tahun bersama pasukan, jadi sepatutnya kita tiada masalah, Malaysia boleh muncul juara,”

Senarai 24 Pemain Yang Terpilih :-

Mohd Syahir Asyraf Rosli (Kapten), Mohd Khuzaidi Abdullah (Pembantu Kapten), Amadis Chong Yuen Jun, Azman Osman, Badrul Musa, Dineswaran Krishnan, Helbarth Jemlit, Khairul Nizar Shamsuddin, Kini Rosolosolo, Megat Zubaidi Buang, Mohamad Amin Jamaludin, Mohamad Nazeer Nesharah, Mohd Hafizh Zainal, Mohd Zulkifli Azmi, Mohd Nizard Mohd Noor, Mohd Razif Zainol Abidin, Mohd Shafiq Marican Ariffin, Muhammad Fazrin Noor Zaid, Nathaneal Tan Aik Ming, Ras Suhael Nur Rahim Razbi, Ras Hurairah Razbi, Timoci Nacocola dan Veliameveto Tuinivanua