Connect with:




 

Sasaran kontinjen Malaysia untuk mencapai sasaran 35 pingat emas yang ditetapkan di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018 yang melabuhkan tirainya hari ini akhirnya tercapai.

Lebih menggembirakan, mereka turut berjaya mencipta dua emas tambahan yang menyaksikan Malaysia secara keseluruhannya meraih 37 pingat emas.

Dalam pada itu, ketua kontinjen negara,  Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin meluahkan rasa lega apabila skuadnya berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Semangat juang yang tinggi dipamerkan mereka untuk mengharumkan nama negara. Ia sekaligus menyaksikan atlet intelek mampu bersaing dalam sukan besar seterusnya dapat menjulang nama negara,” katanya.

Perkembangan sama menyaksikan pasukan karate kumite lelaki tampil sebagai wira selepas membantu Malaysia mencapai sasaran pingat emas yang ke 35 menerusi S Prem Kumar Selvam, A Somanroy, Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik, R Ganesan Raman, R Mathevanan dan Noor Azizan Nor Azli yang membenam juara bertahan Thailand dengan kemenangan 3-0.

Pasukan catur turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menyumbang dua  emas menerusi Tan Li Ting (individu wanita) dan acara berpasukan wanita (Li Ting, Nur Nabila, Nur Najiha dan Puteri Rifqah)

Secara keseluruhannya,  Malaysia berada di tangga ketiga dengan 37 emas, 42 perak dan 50 gangsa ketinggalan di belakang Indonesia, 42 emas, 34 perak dan 27 gangsa manakala Thailand berada di puncak teratas dengan meraih 54 emas, 50 perak dan 34 gangsa.

Foto: Majlis Sukan Universiti Malaysia