Connect with:




Kejohanan Badminton Universiti Dunia (WUBC) 2018 menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejohanan berkenaan yang bakal berlangsung dari 15 Oktober sehingga 21 Oktober di Stadium Juara, Bukit Kiara Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, WUBC juga akan mempertaruhkan sebanyak dua acara iaitu individu dan berpasukan serta acara individu yang dipertandingkan ialah perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Sekretariat   Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum), Shahrin Ismail memaklumkan saingan sengit bakal dipamerkan daripada 18 buah negara yang mengambil bahagian dalam kedua-dua acara berkenaan.

“Negara-negara yang mengambil bahagian ialah Australia, Brazil, Kanada, China, Republik Czech, Jerman, India, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Poland, Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Amerika Syarikat, Rusia, Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah,” katanya kepada Utusan.

Dia turut menambah anggaran seramai 200 atlet dan pegawai yang akan terbabit dalam kejohanan bagi memburu gelaran juara.

“Acara pembukaan rasmi kejohanan dijangka pada 15 Oktober ini pukul 9 pagi oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya.

“Acara berpasukan akan dijalankan dari 15 sehingga 17 Oktober ini manakala acara individu dari 19 sehingga 21 Oktober ini. Setiap negara juga perlu mematuhi peraturan teknikal terbaru yang ditetapkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).”- UTUSAN