Malaysia Bersiap Sedia Menghadapi Singapura

Jurulatih bola jaring negara, Tracey Robinson mahu anak buahnya memberikan aksi yang terbaik, seterusnya mampu memenangi perlawanan menentang Singapura, petang ini.

Tambahnya lagi, setiap perlawanan sangat penting untuk memberi motivasi kepada pemain, dalam usaha mereka merampas kembali emas yang diraih SIngapura, dua tahun lalu.

Skuad bola jaring telah beraksi dengan cemerlang apabila melakarkan kemenangan kedua dengan membenam Brunei 64 berbalas 27, petang semalam.

Norashikin Kamal Zaman selaku GS (goal shooter) bijak menggunakan ketinggian yang dimiliki untuk menguasai kawasan D.

“Ketinggian yang saya miliki nyata memberikan kelebihan untuk mengawal bola di depan jaring, bagaimanapun cabaran sebenar akan bermula apabila kita bertemu Singapura nanti,” katanya.

Mengulas mengenai strategi berdepan musuh tradisi negara, Norashikin berkata, dia yakin dengan percaturan jurulatihnya seterusnya melakarkan rekod bersih tanpa kalah.

Pasukan bola jaring negara akan turun pada perlawanan ketiga peringkat kelayakan menentang Singapura pada jam 5.15 petang hari ini.

Foto Kredit: Majlis Negara Malaysia